SEPANG: Lebih 100 wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) Sepang hari ini
berkumpul secara aman di Perhentian Bas dan Teksi Bandar Baru Salak
Tinggi di sini bagi meminta siasatan dilakukan terhadap Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan memiliki akaun
berjumlah RM3 bilion.
Mereka adalah wakil 15 NGO di sini termasuk Pertubuhan Pribumi
Perkasa Malaysia (PERKASA), Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah
Malaysia (PEKIDA), Persatuan Silat Sepang, Kelab Sahabat, Persatuan
Belia Tamil dan Kelab Veteran MAYC Sepang.
Mereka yang mula berkumpul seawal jam 9 pagi dilihat membawa sepanduk
yang antaranya mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
menyiasat Anwar, malah lidah rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Suara
Keadilan turut dibakar pada perhimpunan itu.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Pengerusi PEKIDA Sepang dan Badan
Badan Sukarela Daerah Sepang, Mohamed Jaman berkata, tujuan perhimpunan
itu adalah bagi mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM
menjalankan penyiasatan terhadap kes tersebut, sepertimana yang
didedahkan media baru-baru ini.
Mohamed turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang selepas perhimpunan itu.
Bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad
Khalid dilaporkan mendakwa Anwar mengawal 20 akaun induk membabitkan
aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion dalam
pendedahannya kira-kira 13 tahun lalu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment