June 24, 2012

S’wak berpotensi hasil bahan farmaseutikal dari cuka nipah

KUCHING: Sarawak berpotensi untuk menghasilkan bahan farmaseutikal daripada cuka nipah yang mampu mencecah harga beribu ringgit seliter.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Naroden Majais berkata, Sarawak mempunyai sumber nipah yang banyak dan boleh di-eksploitasi bagi tujuan itu.
Katanya, air daripada nipah atau lebih dikenali sebagai ‘air sadap’ dalam kalangan penduduk tempatan boleh dijadikan sebagai minuman selain berpotensi diproses menjadi cuka serta bahan farmaseutikal.
“Daripada pengalaman saya dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur dari Kuantan, Pahang, saya mendapati ramai dalam kalangan peniaga menjual ‘air sadap’ yang diperolehi daripada pokok nipah.
“Kita di Sarawak ini mempunyai banyak sumber nipah yang tumbuh dengan subur di sepanjang kawasan berpaya dan jika ia dieksploitasi, saya yakin kita mampu menjadi penge-luar utama cuka.
“Justeru, saya menggalakkan penduduk di negeri ini terutama dalam kalangan usahawan tempatan meng-eksploitasi sumber nipah ini untuk diproses menjadi bahan mentah bernilai tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Usahawan dan Promosi Kraf Malaysia 2012 di Tebingan Kuching di sini, semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Naroden melalui Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera dan Kraftangan Malaysia Sarawak sedang ber-usaha untuk mewujudkan kilang kain batik di negeri ini yang akan mengeluarkan kain batik rekaan Sarawak.
Katanya, Sarawak yang banyak menghasilkan rekaan batik untuk pengeluar-pengeluar batik di Semenanjung Malaysia belum mencapai taraf sebagai pengeluar batik dengan rekaan tersendiri.
Justeru, beliau berharap agar pelukis-pelukis batik di negeri ini dapat menghasilkan pelbagai corak yang melambangkan identiti kaum etnik Sarawak setanding dengan hasil rekaan dari Brunei dan Terengganu.
Bercakap mengenai majlis tersebut, Naroden berkata, ia membuktikan adanya kerjasama yang kukuh antara usahawan kraf di negeri ini dengan usahawan di Semenanjung Malaysia, Sabah termasuk Brunei.
Menerusi penganjuran karnival seperti ini, Naroden yakin ia mampu memperluaskan rantaian hubungan perniagaan antara semua usahawan yang terlibat.
Pada majlis itu Naroden turut menyampaikan bantuan kraf kepada empat orang wakil usahawan.
Antara bantuan yang diberikan ialah bantuan berupa pengubahsuaian bengkel, peralatan sebanyak tujuh set lengkap rumah tenun songket dan bahan mentah benang bernilai RM47,000 kepada kumpulan Songket Kampong Mang Samarahan.
Bantuan dalam bentuk bahan mentah bernilai RM10,000 turut diberikan kepada Kumpulan Songket Kampong Gedong Simunjan melibatkan enam orang usahawan.
Selain itu, Naroden menyampaikan bantuan berupa bahan mentah manik dan peralatan masing-masing untuk usahawan manik 1Azam Bahagian Kapit dan Belaga.

No comments: