June 8, 2012

Projek mikro hidro akan diperluas

LUBOK ANTU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedia mengemukakan cadangan kepada kerajaan pusat untuk melaksanakan projek mikro hidro jana tenaga elektrik percuma kepada rumah-rumah panjang yang terletak jauh di pedalaman Sarawak dan Sabah.
Timbalan Menterinya, Datuk Fadillah Yusof berkata, beliau sedia mengemukakan cadangan terbabit bagi memastikan bekalan elektrik 24 jam dapat disalurkan ke rumah-rumah panjang yang jauh di pedalaman kedua-dua negeri.
Sehubungan itu, kata Fadillah, sekiranya konsep itu baik dan boleh menjimatkan kos, maka pihaknya sedia meluaskan projek terbabit ke rumah-rumah panjang yang belum menerima bekalan elektrik 24 jam pada masa depan.
“Projek ini bukan sahaja mesra alam, malah ia dapat mewujudkan kemesraan rakyat sendiri kerana kebanyakan kerja dilakukan secara gotong-royong antara penduduk setempat dengan agensi-agensi berkaitan,” katanya.
“Saya akan mengusulkan cadangan ini semasa mesyuarat kabinet kepada Kementerian Luar Bandar yang diadakan setiap bulan dengan mengambil contoh kejayaan mikro hidro Rumah Sunok, Nanga Stamang, Ulu Engkari.”
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar sejurus selesai Majlis Penyerahan Projek Mikro Hidro Kepada Penduduk Rumah Sunok, Nanga Stamang, Ulu Engkari, semalam.
Projek mikro hidro Nanga Stamang yang bernilai kira-kira RM1 juta ini dibiayai menerusi Dana Inovasi Komuniti di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
Projek mikro hidro yang beroperasi di Sungai Ubo, Nanga Stamang ini dikendalikan SIRIM Berhad dengan bantuan daripada rakan teknologinya, Cihanjuang Inti Technik Indonesia.
Projek yang hanya menggunakan kuasa pukulan air ini sudah beroperasi enam bulan lepas dan mampu memberi faedah kepada 206 penghuni dari 41 keluarga Rumah Sunok, Nanga Stamang.
Pada majlis itu, Fadilah mengumumkan peruntukan RM41,000 kepada Rumah Sunok bagi kegunaan penyambungan pendawaian di bahagian ruai rumah panjang itu.
Sebanyak 16 rumah panjang berada di sepanjang Sungai Ulu Engkari dan tiga daripadanya sudah ada bekalan elektrik 24 jam hasil pelaksanaan projek mikro hidro.
Tiga rumah panjang itu ialah Rumah Panjang Sunok, Nanga Stamang, Rh Ujan, Spaya dan Rh Liam Rantau Kemayau Manis.
Turut hadir Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai Malcom Mussen Lamoh dan kakitangan kerajaan.

No comments: