KUCHING: Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri pada tahun depan bakal diadakan lebih meriah berbanding tahun ini dengan penyertaan lebih 2,000 wanita termasuk dari kawasan luar bandar.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah memberitahu, sasaran itu diletakkan setelah mengambil kira respons memberangsangkan yang diterima pada sambutan tersebut baru-baru ini.
“Kita akan maklumkan kepada Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga Peringkat Parlimen, yang sebanyak 31 kesemuanya, untuk membawa kaum wanita terutama dari luar bandar agar turut serta meraikan sambutan Hari Wanita.
“Kita juga ingin mengadakannya lebih besar dan meriah tahun depan sempena ulang tahun Biro Wanita Ke-25 dan kita telah pun mendapat lampu hijau daripada Ketua Menteri (Pehin Sri Abdul Taib Mahmud),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sambutan Hari Wanita di Kafe D’Kalan di Kampung Lintang, Petra Jaya di sini, semalam.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan pemilik Kafe D’Kalan Zulbaidah Shahrom.
Fatimah berkata, sambutan Hari Wanita yang dijangka diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) itu akan diselitkan dengan program Kembara Ilmu yang memberi peluang kepada para peserta khasnya dari luar Kuching untuk melawat perusahaan-perusahaan di sini.
Menurutnya, program itu dijangka mampu membuka minda peserta dengan melihat kreativiti wanita yang menceburi bidang keusahawanan di sini.
Dalam pada itu, beliau turut memuji kesungguhan Zulbaidah mengusahakan kafe itu yang mengalami perubahan besar berbanding suatu ketika dahulu.
Beliau yakin bahawa tempat itu berpotensi dijadikan tempat persinggahan pelancong kerana mempunyai elemen-elemen tradisional Melayu, dengan lokasi di kampung tradisi Melayu serta terkenal dengan muzik Melayu.
“Kerajaan negeri sememangnya menggalakkan wanita-wanita kita untuk terlibat dalam bidang keusahawanan agar dapat meningkatkan lagi pendapatan diri serta ekonomi,” katanya.
Selain itu, Fatimah yang juga ADUN Dalat turut menambah bahawa tiga buku bakal dilancarkan sempena sambutan itu pada tahun depan iaitu berhubung tiga bidang seperti, kesukarelawan, keusahawanan dan wanita dalam politik.
Menurutnya, pihaknya berhadapan dengan masalah untuk membukukan tokoh wanita terlibat dalam politik yang dalam jumlah ramai di negeri atas faktor dokumen tidak mencukupi.
“Kita di Sarawak mempunyai ramai tokoh wanita namun tidak banyak yang dapat dibukukan kerana tidak cukup dokumen atau maklumat.
“Untuk itu, usaha ini perlu dimulakan dari sekarang sementara mereka atau rakan-rakan serta keluarga yang mengenali tokoh ini masih hidup,” katanya.
Read more: http://www.theborneopost.com/2012/11/04/hari-wanita-2013-pasti-lebih-hebat/#ixzz2BEDr2pnC
No comments:
Post a Comment