November 4, 2012

Sektor industri perlu diperluas: KM


KUCHING: Sektor perindustrian di negeri ini perlu diperluaskan melebihi 30 peratus pada masa akan datang bagi menjana lebih banyak pendapatan kepada negeri.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, bagi mencapai sasaran itu, usaha untuk mempelbagaikan sektor ini perlu diambil oleh penggiat industri terutama dalam industri kimia.
Jelasnya, dengan kemunculan industri kimia ini, ia akan dapat menyokong industri-industri kecil yang lain seperti sektor perkilangan, penghasilan baja dan sebagainya.
“Sepanjang tempoh 10 tahun ini, Sarawak telah berjaya mempelbagaikan ekonomi daripada sektor perkayuan kepada sektor perindustrian yang berjaya menarik kemasukan para pelabur.
“Jika kita dapat memperkembangkan lagi sektor perindustrian di negeri ini melebihi 30 peratus pada masa akan datang, saya percaya Sarawak mampu mencapai sasaran negeri terkaya menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun ke-50 Kumpulan KTS di KTS Garden malam kelmarin.
Mengimbas sejarah perkembangan Sarawak, Taib yang mula menyertai kerajaan pada tahun 1962 berkata, tahun lepas sahaja Kadar Pendapatan Kasar (GDP) negeri mencatatkan RM100 bilion.
Dengan populasi penduduk hampir mencecah 2.5 juta, Sarawak katanya berada tiga hingga empat tahun di hadapan untuk mencapai negeri terkaya menjelang 2030.
“Kehidupan nampak mudah di Sarawak. Selepas industri kelapa sawit kita mengharungi fasa pembangunan yang lebih komplikated.
“Industri perkayuan dan kelapa sawit telah berjalan dengan jayanya dan kini sudah tiba masanya untuk kita mempelbagaikan sektor perindustrian yang akan melonjakkan pembangunan dengan lebih pesat,” katanya.
Menyentuh mengenai Koridor Tenaga Diperbaharui (SCORE), Taib berkeyakinan bahawa pembangunan SCORE akan menyaksikan lebih ramai pekerja mahir dan separuh mahir dari kalangan tempatan.
“Cabaran ini adalah untuk memastikan bahawa kita mampu menarik seluruh negara untuk bekerja ke arah matlamat yang sama dari bawah ke atas.
“Bagi saya, ini adalah formula terbaik untuk Sarawak di mana saya mahu lihat sekurang-kurangnya 30 peratus daripada rakyat di negeri ini mempunyai kelayakan teknikal,” katanya sambil menambah syarikat seperti KTS mampu membantu negeri mencapai matlamat itu.


Read more: http://www.theborneopost.com/2012/11/04/sektor-industri-perlu-diperluas-km/#ixzz2BEDTcC2H

No comments: