KOTA SAMARAHAN: Walaupun Sarawak mempunyai ramai jururawat terlatih
namun hospital kerajaan di negeri ini masih lagi mengalami masalah
kekurangan jururawat.
Menteri Muda Kesihatan Dr Jerip Susil berkata berdasarkan perangkaan
pada dua tahun lalu, terdapat 1,200 kekosongan jawatan berkenaan.
Beliau menjelaskan, bagaimanapun sehingga kini separuh daripada
jumlah kekosongan itu sudah diisi hasil temu duga intensif yang
dilakukan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
“Kita bukan kekurangan jururawat terlatih kerana universiti yang ada
di negeri ini cukup untuk menyediakan tenaga kerja mahir, namun
kemasukan jururawat untuk menjadi penjawat awam agak rendah dan
perangkaan terakhir yang saya ada dua tahun lalu adalah 1,200 jawatan
jururawat yang tidak diisi di seluruh Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan
Persidangan dan Bengkel Kejururawatan di Universiti Malaysia Sarawak
(UNIMAS) di sini semalam.
Dr Jerip memberitahu, ia bermakna semua hospital, pusat kesihatan dan
klinik yang ada di negeri ini masih lagi memerlukan jururawat terlatih
bagi mengisi kekosongan itu.
“Nisbah doktor dengan pesakit, 1:1600 berbanding Semenanjung Malaysia
1:500 manakala bagi nisbah jururawat dengan pesakit: 1:400 kerana
jururawat lebih ramai,” tambahnya.
Pada masa yang sama beliau menasihati jururawat terlatih agar tidak
memilih tawaran pekerjaan sama ada di hospital kerajaan mahupun swasta.
“Apa yang penting mereka mendapat pekerjaan kerana mereka disediakan
untuk kedua-dua tempat, gaji sektor swasta mungkin lebih tinggi namun
apa yang penting adalah kebolehpasaran untuk diserapkan ke dalam pasaran
pekerjaan,” katanya.
Tegasnya, untuk itu pelajar yang mengambil kursus kejururawatan di
UNIMAS perlu memiliki kemahiran tinggi dan boleh berkomunikasi dengan
baik.
“Kebanyakan jururawat terlatih dari Sarawak diserap ke Singapura,
Timur Tengah dan Jepun, United Kingdom dan Australia yang membuktikan
permintaan tinggi bagi jururawat Sarawak kerana standard kejururawatan
di sini agak tinggi dan komitmen mereka,” jelasnya.
Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya Dr Jerip yang juga Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Bengoh berkata, masalah penyakit tidak berjangkit
seperti kencing manis, darah tinggi, hipertensi dan sebagainya kini
amat membimbangkan.
Beliau memberitahu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pertubuhan
Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2008, sebanyak 67 peratus rakyat Malaysia
menghidapi penyakit tidak berjangkit ini.
“Kita amat khuatir masalah ini kerana semakin ramai orang menghidap
kencing manis, hipertensi, kerosakan renal kronik bukan saja di bandar
tetapi corak sama sudah mula ditunjukkan di kawasan luar bandar,”
ujarnya.
Justeru, beliau menyarankan setiap individu komited menjaga diri
sendiri bukannya menyerahkan tanggungjawab itu sepenuhnya kepada pakar
kesihatan bagi menghindari diri daripada menghidap penyakit tersebut.
Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS
Prof Dr Peter Songan, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS
Prof Dr Ahmad Hatta Rasit, Ketua Jabatan Kejururawatan UNIMAS Dr
Zabidah Putit dan Pengerusi Penganjur Norheiza Mohd Benedict
Read more: http://www.theborneopost.com/2013/02/24/hospital-kjaan-di-swak-masih-kurang-jururawat/#ixzz2Lnc9jf2n
Ali Biju silap langkah, GPS tetap jadi pilihan
-
Keputusan Ali Biju yang tetap dengan pendiriannya tidak mahu ‘melompat’ ke
Parti Demokratik Progresif (PDP) sebelum ini dan berpegang serta bergantung
k...
2 years ago