February 24, 2013

Ho Leng tidak bertanding

SIBU: Selepas pelbagai spekulasi, Ahli Parlimen Sibu Wong Ho Leng akhirnya mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Sibu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang.
Wong berkata, beliau telah menyerahkan keputusannya kepada Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Kebangsaan Lim Guan Eng dan mereka telah menerima keputusan beliau.
“Saya telah dinasihati oleh doktor saya untuk berehat dan bukannya memburukkan lagi kesihatan saya.
“Oleh itu, saya telah memutuskan untuk tidak bertanding pada PRU13.
“Bagaimanapun, saya kekal sebagai pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Sarawak dan masih memantau semasa Pilihan Raya Umum nanti,” katanya pada sidang media di Pejabat DAP Sibu, semalam.
Hadir sama isterinya, Irene Chang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan David Wong, Pembantu Khasnya Oscar Ling dan Timbalan Setiausaha Penganjur DAP Kebangsaan DAP Alice Lau.
Bagi calon yang akan dipilih untuk menggantikan beliau, Wong enggan mendedahkan nama dan memberitahu bahawa Jawatankuasa Pilihan Khas DAP akan membuat pengumuman rasmi di Kuching hari ini (Ahad).
“Saya sudah memberikan calon pilihan saya kepada Lim Guan Eng dan keputusan muktamad adalah terpulang kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang terdiri daripada Lim, Chong Siew Chiang, Chong Chien Ren, David Wong, Ting Tze Hui, Chew Chiu Sing dan Fong Po Teck untuk membuat keputusan,” jelasnya.
Wong berkata, beliau telah selesai menjalani rawatan radioterapi selama enam minggu dan tujuh kursus rawatan kemoterapi di Hospital Mount Elizabeth di Singapura sejak awal tahun ini.
Katanya beliau kini dalam tempoh berehat dan sentiasa mengambil steroid untuk memulihkan keadaannya.
“Pada mulanya, saya mengambil kira-kira lapan miligram steroid tetapi pengambilan telah dikurangkan sebanyak 50 peratus sekarang.
“Mudah-mudahan, saya dapat beransur- ansur menghentikan pengambilan steroid dan mampu berdiri dengan baik,” katanya.
Disebabkan tempoh pemulihan bertepatan dengan masa PRU13, Wong berkata ia adalah menjadi sebab utama mengapa beliau memilih untuk tidak bertanding pada PRU13 kelak.
“Doktor telah menasihati saya agar berehat dan tidak terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri,” tambahnya.
Sehubungan itu, Wong menyeru penyokongnya agar menyokong calon yang dipilih untuk menggantikan beliau.
“Calon yang dipilih untuk menggantikan saya akan menjadi calon yang lebih baik dan dia pasti akan bekerja untuk kebaikan rakyat,” tegasnya.
Wong juga mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya yang sentiasa menyokongnya sejak tiga tahun lalu.
“Saya mungkin tidak dapat memberikan perkhidmatan yang sempurna kepada rakyat tetapi saya telah melakukan yang terbaik,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi DUN Bukit Assek, Wong berkata, masih terlalu awal menjawab soalan tersebut dan beliau yakin dirinya akan sihat sepenuhnya pada waktu Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri nanti.
“Bila tiba masa itu nanti, kita tunggu dan lihat,” tambahnya.
Sementara itu, Wong turut mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Sibu menerusi Twitter miliknya @wongholeng dan dikongsi menerusi laman sosial Facebook.
Keputusan beliau itu mengejutkan ramai pihak terutama wakil rakyat DAP yang lain dan penyokongnya serta menerima banyak komen.
Antara petikan penyokongnya termasuk yang terharu dengan keputusan beliau untuk tidak mempertahankan kerusi Parlimen Sibu dan berharap beliau sentiasa bersemangat dalam meneruskan perjuangan politiknya.
Selain itu, terdapat komen yang turut berharap beliau dapat berehat dengan lebih baik dan pulih sepenuhnya serta dapat menjalankan tugasnya dengan lebih baik dan bersemangat.
Pada 20 Disember lalu, pakar bedah saraf telah menjumpai glioma di dalam otak Wong yang masih pada peringkat awal dan tidak akan merebak ke bahagian lain.
Selepas mendapatkan pandangan kali kedua daripada pakar saraf tempatan, beliau telah mendapatkan rawatan radioterapi dan kemoterapi di Singapura bermula 8 Januari bagi tempoh enam minggu

Read more: http://www.theborneopost.com/2013/02/24/ho-leng-tidak-bertanding/#ixzz2LnbmeWra

No comments: