February 9, 2013

Malaysia akan menjadi lebih hijau menjelang 2020

MIRI: Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, Malaysia bakal menjadi lebih hijau menjelang tahun 2020 dengan menyasarkan 11 peratus penghasilan jumlah kapasiti tenaga daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.
“Pengurangan sebanyak 40 peratus atau bersamaan dengan sebanyak 42.2 juta tan pelepasan gas karbon dapat dikurangkan pada tahun berkenaan,” katanya pada Majlis Perasmian Projek Kempen Sekolah Hijau di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang (KTDTHB) di sini, petang kelmarin.
Menurutnya, ia merupakan salah satu daripada polisi tenaga kelima iaitu elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui.
Katanya, kesedaran untuk menggantikan tenaga berasaskan fosil seperti minyak, gas dan arang batu untuk penjanaan elektrik kini semakin tinggi.
“Semua sumber ini memerlukan kos yang tinggi untuk diperolehi dan akan habis dalam tempoh beberapa dekad akan datang,” ujarnya.
Justeru, katanya, kerajaan berharap penghasilan elektrik daripada sumber tenaga boleh diperbaharui terutamanya tenaga suria akan menjadi pilihan kepada pihak industri dan orang ramai pada masa akan datang.
Walaupun pemasangan panel suria masih mahal terutamanya untuk rumah-rumah individu, namun kemasukan pelabur untuk membuka kilang panel suria diharap dapat mengurangkan kos dan ia menjadi lebih murah serta mampu dipasang dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang.
Selain itu, Chin memberitahu kewujudan kilang-kilang pembuatan panel suria bakal mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dalam negara.
KTDTHB merupakan salah sebuah sekolah terpilih untuk menjayakan kempen Sekolah Hijau daripada 30 buah sekolah seluruh Malaysia.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lutong, Miri turut dipilih selain SMK St Joseph, Kuching untuk projek yang sama iaitu pemasangan sistem solar.
Pada majlis itu, Chin turut menyampaikan sebanyak 200 biji lampu yang dijana daripada elektrik tenaga solar kepada penghuni sekitar Miri yang belum mempunyai elektrik disambungkan ke rumah mereka.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Tenaga, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Badaruddin Mahyudin dan Pengetua KTDTHB Hasimah Abang Zen.

No comments: