
GUNA SEBAIKNYA: Tengah (kiri) ketika menyerahkan geran kepada mangsa kebakaran di surau Kampung Pemukat, Limbang.
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, mangsa kebakaran tidak akan pernah keseorangan ketika ditimpa kesusahan.
“Anda tidak akan pernah keseorangan dalam menempuhi kesusahan kerana kerajaan akan bantu dari semua segi termasuk bantuan bencana, skim perumahan dan banyak lagi melalui wakil rakyat yang dilantik,” katanya pada majlis penyerahan geran daripada kerajaan negeri, Lembaga Kebajikan Amanah Islam Limbang (LAKIL) dan derma peribadi kepada mangsa kebakaran di Kampung Pemukat di Limbang, kelmarin.
Pada 31 Januari lalu, 50 mangsa daripada 11 buah keluarga kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran yang turut memusnahkan sebuah rumah panjang Iban sebanyak 43 pintu.
Kerajaan negeri menghulurkan bantuan sebanyak RM40,000 berupa geran kepada 11 keluarga berkenaan, sementara LAKIL menyumbang RM3,000 setiap seorang kepada lima wakil ketua keluarga.
Pada masa sama, Awang Tengah menyerahkan kepada para mangsa kebakaran untuk menentukan sama ada mereka ingin membina rumah baharu di tapak lama atau di penempatan baharu di Limbang.
Antara pilihan bagi lot penempatan semula ialah di Kampung Buangsiol, Kampung Seberang Kedai dan Kampung Batu Bakarang yang disediakan oleh pihak kerajaan.
Terdahulu, Awang Tengah turut melawat tapak kebakaran di Kampung Pemukat bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, Ketua Kampung Ahamad Md Salem, Pegawai Daerah Limbang Anyi Lah dan beberapa ketua masyarakat tempatan.
No comments:
Post a Comment