February 2, 2013

Pengundi wanita penting

KUCHING: Sebanyak 19 daripada 31 kerusi Parlimen yang dipertand­ingkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) nanti mempunyai bilangan pengundi wanita yang lebih ramai berbanding lelaki.
Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Fatimah Abdullah berkata, berdasarkan rekod Suruhanjaya Pi­lihan Raya (SPR), 534,516 pengundi di negeri ini merupakan wanita, manakala 535,138 lelaki.
Menurut beliau, walaupun jumlah pengundi lelaki masih mendahului pengundi wanita, namun peranan kaum hawa di negeri ini tidak boleh diperlekehkan dalam membentuk kerajaan.
“Bilangannya (pengundi) hampir sama, namun terdapat beberapa kawasan Parlimen mempunyai bi­langan pengundi wanita lebih ramai daripada lelaki.
“Ini menunjukkan peranan wanita di Sarawak amat besar. Kita mem­bantu dalam membentuk kesin­ambungan pembangunan negeri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Beliau yang juga Menteri Keba­jikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga berkata, antara kawasan Parlimen yang mempunyai bilan­gan pengundi wanita ramai ialah Sri Aman dengan anggaran 14,000 orang, Batang Lupar (13,000), Bandar Kuching (27,000), San­tubong (18,000), Miri (33,000), Kota Samarahan (17,000) dan Petra Jaya (25,000).
Tambahnya, wanita merupakan golongan yang setia kepada kerajaan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, ke­bajikan serta keluarga.
Justeru, beliau berharap pengundi wanita di negeri ini tidak mudah terpedaya dengan janji manis pem­bangkang.
“Berhati-hati dengan apa yang mereka janjikan. Fikir dengan waras sebelum percaya… ini kerana sebarang keputusan yang salah akan memberi kesan untuk jangka masa panjang,” ujarnya.
Ditanya sama ada Pergerakan Wanita BN Negeri ada mengemu­kakan nama calon untuk PRU13, Fatimah berkata, biarlah ia menjadi rahsia dan tunggu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak men­gumumkannya.
“Kita memang berharap lebih ramai calon wanita akan bertanding pada PRU13 nanti. Namun, kita perlu menunggu keputusan daripada Perdana Menteri,” jelasnya.
Fatimah turut berkata, Pergerakan Wanita BN Negeri sudah berse­dia sepenuhnya bagi menghadapi PRU13.
Beliau menjelaskan, antara langkah awal diambil pihaknya ialah melan­carkan Jentera Wanita BN Negeri oleh Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud pada 4 Februari di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama.
“Pelbagai program dirangka sepa­njang pelancaran ini nanti termasuk taklimat SPR.
“Semua sayap wanita dari empat parti komponen BN negeri merang­kumi PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Pro­gresif Sarawak (SPDP) akan turut serta,” katanya.
Beliau menambah, dengan adanya jentera itu nanti, peranan wanita akan lebih dig­erakkan untuk memastikan kemenangan kepada BN di Sarawak.
“Peranan wanita di Sarawak amat be­sar dalam semua bidang tugas termasuk membantu dalam memajukan negeri ini,” ujarnya.
Sementara itu, menurutnya, peranan golongan wanita akan terus dihargai dengan penganjuran Program Gagasan Aspirasi Negara di sebuah hotel terkemuka di sini pada 5 Februari.
“Program ini akan membolehkan keinginan setiap wanita dikumpul dan kemudian dikemukakan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa ‘1 Million Women Purple Walk 2013’ yang akan berlangsung di Putrajaya pada 10 Mac.
“Semua senarai permintaan mereka (wanita) akan dikemukakan kepada Per­dana Menteri untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.

No comments: