KOTA SAMARAHAN: Penduduk di Parlimen Samarahan diseru berdiri teguh
di belakang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13)
akan datang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Dato Sri Mohammad Ali
Mahmud berkata, penduduk di situ perlu memberi sokongan padu kepada
pucuk pimpinan iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi
memastikan agenda murni kerajaan dapat diteruskan pada masa hadapan.
“Kita semua sedia maklum PRU13 tidak lama lagi jadi sama-samalah kita
memberi sokongan yang padu ke atas kepimpinan kerajaan yang sedia ada
sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengagihan Bantuan Rakyat
1Malaysia (BR1M) 2.0 kepada 836 penerima terdiri golongan bujang di
Dewan Suarah Kota Samarahan semalam.
“Jika kepercayaan dan mandat terus diberikan kepada kerajaan BN, saya
percaya BR1M 3.0 dan BR1M 4.0 akan diteruskan seperti mana yang telah
diumumkan PM baru-baru ini,” tambahnya.
Malah, Mohammad Ali memberitahu bantuan itu dapat meringankan beban
kepada kira-kira 2.7 juta belia bujang berumur 21 ke atas di seluruh
negara yang berpendapatan bulanan kurang daripada RM2,000.
“Bagi fasa pertama untuk Daerah Samarahan sahaja, seramai 4,475 belia
bujang menerima BR1M 2.0 ini,” katanya sambil menambah pelbagai jenis
bantuan telah diperkenalkan oleh kerajaan BN untuk meringankan beban
rakyat antaranya Bantuan Lesen 1Malaysia (BL1M), bantuan pelajar sekolah
dan universiti dan banyak lagi.
Justeru, beliau menegaskan segala bantuan itu dapat diteruskan jika
rakyat memberi mandat kepada kerajaan BN untuk memerintah semula selepas
PRU13 kelak.
Sementara itu, menyentuh mengenai seminar kesihatan khas kepada
golongan belia bujang yang dijalankan sebelum pengagihan BR1M 2.0 itu,
Mohammad Ali berkata, penganjuran seminar itu disambut baik bagi memberi
ilmu pengetahuan kepada para belia.
“Penyertaan Jabatan Kesihatan dalam program hari ini (semalam)
memberi kesan positif terutamanya berkaitan penyakit jangkitan kelamin
di kalangan belia yang amat membimbangkan kita semua.
“Seminar sebegini dapat memberi kesedaran dan dilihat langkah terbaik
mengurangkan gejala masalah sosial di kawasan ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa agensi, jabatan mahupun pertubuhan
kerajaan lain di situ mengambil inisiatif yang sama untuk bersama-sama
memerangi masalah sosial di kawasan berkenaan.
“Tugas ini adalah tanggungjawab kita bersama agar masalah sosial yang
membelenggu belia pada masa kini dapat dikurangkan sekali gus
dibendung,” ujarnya.
Hadir sama Pegawai Daerah Samarahan Mohd Ainnie Wahab, Pegawai
Kesihatan Bahagian Samarahan Dr Julaidah Sharif, Temenggung Chek Bujang
dan tetamu kehormat lain.
Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram
-
MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat
yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari
gerga...
5 years ago
No comments:
Post a Comment