A friend is someone we turn to
when our spirits need a lift.
A friend is someone we treasure
for our friendship is a gift.
A friend is someone who fills our lives
with beauty, joy, and grace.
And makes the whole world we live in
a better and happier place.
- Jean Kyler McManus -
SUBANG JAYA: Kementerian Pelajaran akan menyediakan talian khidmat bantuan dan sokongan untuk membantu guru besar, pengetua dan guru meningkatkan keupayaan sekolah dalam melahirkan murid cemerlang menerusi program Pembangunan Prestasi Sekolah (SIP) yang dilaksanakan di semua 10,000 sekolah di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bantuan itu dari segi pembangunan kapasiti seperti menambahbaik kemahiran, latihan semula dan kaunseling, bahan sokongan termasuk garis panduan perancangan dan bahan pengajaran preskriptif serta sumber tambahan seperti menaik taraf prasarana.
“Bantuan tambahan akan disalurkan kepada sekolah yang paling memerlukan, ter-utama sekolah berprestasi rendah, termasuk membimbing kepemimpinan sekolah, melaksanakan program pembinaan keupayaan guru dan membekalkan alat bantuan mengajar tambahan,” katanya berucap pada majlis pelancaran SIP di Sekolah Kebangsaan Wawasan USJ 15 di sini, semalam.
Ucapan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dibacakan oleh timbalannya, Datuk Wee Ka Siong.
SIP adalah satu mekanisme bagi membantu sekolah berprestasi rendah meningkatkan keberhasilan murid secara konsisten. Ia adalah satu daripada inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan.
Ia mempunyai tiga komponen bagi membantu sekolah meningkatkan prestasi, iaitu penyenaraian prestasi sekolah, pembekalan ‘tool kit’ pembangunan prestasi sekolah bagi sebagai instrumen penilaian kendiri secara online yang membantu sekolah menilai pencapaian semasa dan mengenal pasti bidang yang perlu ditambah baik serta menyediakan pelan tindakan penambahbaikan secara terarah.
Fasa pertama program itu membabitkan semua 7,700 sekolah rendah, manakala bakinya membabitkan sekolah menengah. Muhyiddin berkata, menerusi program ini, guru besar atau pengetua dapat mengesan kelemahan murid dalam mata pelajaran tertentu dan seterusnya mengenal pasti punca kelemahan serta merancang tindakan susulan untuk mengatasinya.
“Jika kelemahan berpunca daripada kaedah pengajaran yang kurang berkesan, mereka boleh mengambil inisiatif melaksanakan program bimbingan untuk guru dan memantau perkembangannya dari semasa ke semasa,” katanya
KUALA LUMPUR 29 April - Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek hari ini menafikan dakwaan bahawa sokongan kaum Cina terhadap Barisan Nasional (BN) semakin merosot.
Katanya, undi kaum Cina pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor sebenarnya meningkat .
Menurut beliau, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 menunjukkan 35 peratus pengundi Cina di Selangor menyokong BN dan jumlah itu menurun kepada 14 peratus tidak lama selepas negeri itu dikuasai pakatan pembangkang.
"Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil di Hulu Selangor Ahad lalu, MCA mendapati undi Cina ialah sekitar 28 peratus dan ini menunjukkan peningkatan.
"Ia membuktikan pengundi Cina menyokong BN dan telah menunjukkan keyakinan mereka terhadap parti,'' katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Presiden MCA di Wisma MCA hari ini.
KUALA LUMPUR 29 April - Perbuatan mewujudkan persepsi sebagai perang saraf demi menunjukkan keburukan dan kelemahan kerajaan bukanlah suatu tindakan yang mengejutkan.
Malah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, ia merupakan antara strategi dan permainan politik yang diguna pakai oleh pihak pembangkang untuk dilemparkan kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN).
"Kalaulah betul, saya tidak terkejut dan saya tidak hairan kalau perkara ini berlaku. Itulah permainan politik," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan muzakarah 'Pendekatan Islam Hadhari: Satu Tinjauan anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini, hari ini.
Semalam, seorang penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz mendakwa diarah oleh pemimpin Pas untuk mewujudkan persepsi buruk bagi memburukkan pentadbiran Abdullah dan memastikan Pas terus kekal memerintah di Kelantan.
Beliau yang juga dikenali sebagai Kickdefella mengakui menerima peruntukan sejumlah RM4 juta dalam tempoh tiga tahun untuk membiayai pelbagai aktiviti termasuk pembelian aset, peralatan, pembayaran upah operatif, percetakan dan lain-lain bertujuan menggerakkan satu operasi Gerak Saraf.
Abdullah berkata, sebagai orang politik, beliau sentiasa berhadapan dengan kemungkinan dilemparkan dengan pelbagai tohmahan bagi menghentam dan memburukkan dirinya.
"Persepsi orang terhadap saya macam-macam. Tetapi dalam politik memang begitu. Ahli politik hidup dengan persepsi. Tetapi akhirnya rakyat juga yang menentukan," ujar beliau.
Tidak berminat untuk membuat penyiasatan terperinci mengenai dakwaan tersebut, Abdullah juga menegaskan, tidak mahu mengambil sebarang tindakan biarpun beliau boleh berbuat demikian.
Bagaimanapun beliau berkata, bersedia menerima penjelasan Syed Azidi jika penulis blog itu mahu menemuinya untuk menerangkan mengenai dakwaan tersebut.
Dalam pada itu, Abdullah mengharapkan agar Islam Hadhari terus diterima oleh segenap lapisan rakyat supaya dapat menjadi panduan demi kemajuan serta kemakmuran dan keharmonian negara.
Menurutnya, gabungan konsep Islam Hadhari dengan gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mampu mewujudkan satu gandingan yang mantap kerana prinsip amalannya adalah untuk kebaikan dan kemajuan bersama.
Pada muzakarah tersebut, sebanyak tiga kertas kerja dibentangkan masing-masing oleh Timbalan Ketua Eksekutif Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS), Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; Profesor, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Prof. Tan Sri. Dr. Mohd. Kamal Hassan dan Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan.
Ia bertujuan untuk meninjau pendekatan Islam Hadhari di negara ini serta mengemukakan kaedah terbaik dalam penambahbaikan pelaksanaan pendekatannya.
HULU SELANGOR, 22 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sokongan terhadap Barisan Nasional pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad ini semakin meningkat.
"Saya dah lama di Hulu Selangor. Dapat lihat makin ramai yang sokong BN. Malam ini hadir lebih 500 orang, " katanya ketika berucap di Rumah Umno Johor di Batang Kali Khamis malam.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beliau yakin dalam hari-hari terakhir mengundi ini akan keluar banyak cerita tidak baik dan meminta para pengundi supaya sedar mereka berada di landasan yang betul.
"Yang penting pilih calon yang mewakili parti yang ada hala tuju yang jelas," kata beliau.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan calon BN P. Kamalanathan ditentang Datuk Zaid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat.
Menurut Muhyiddin, selepas 16 September 2008, BN semakin kukuh manakala PKR pula yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin meretak.
"PKR umpama bangunan lama yang semakin meretak. Saya fikir tidak lama lagi Anwar akan terkontang keseorangan," tambahnya.
Anwar telah menguarkan-uarkan bahawa beliau akan membentuk kerajaan persekutuan yang baru sebagaimana dijanjikan 16 September 2008, tetapi tidak menjadi kenyataan.
MELBOURNE, 22 April (Bernama) -- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menaikkan unjuran pertumbuhan ekonominya bagi Australia sambil menyatakan ia akan menjadi salah satu daripada banyak negara yang termasuk Malaysia yang akan menerajui langkah menaikkan kadar faedah.
Dalam laporan Tinjauan Ekonomi Dunianya yang terbaharu yang diumumkan Khamis, IMF kini menjangka pertumbuhan Australia akan mencecah 3.0 peratus pada 2010, yang meningkat berbanding unjuran 2.5 peratus pada Januari.
Ia menjangka pertumbuhan akan meningkat kepada 3.5 peratus pada 2011, berikutan pertumbuhan 1.3 peratus pada 2009, yang hampir dua kali kadar yang diunjurkan IMF.
Institusi yang berpangkalan di Washington itu berkata unjurannya akan disokong oleh permintaan yang kukuh bagi mendapatkan komoditi, khususnya dari China.
IMF berkata pemulihan yang sedang berlaku pada ekonomi maju utama akan secara relatifnya perlahan berbanding dengan kemelesetan yang tidak teruk pada tahun 1970'an, 1980'an dan 1990'an dan khususnya pada beberapa ekonomi di kawasan Euro.
"Secara perbandingan, Australia dan ekonomi Asia yang mengalami perindustrian yang pesat yang baharu telah mengorak langkah kukuh dan kemungkinan terus menjadi peneraju," katanya.
Katanya negara-negara itu yang mengalami pemulihan yang lebih pantas telah mulai menaikkan kadar faedah -- yang termasuk Australia, China, India, Israel, Malaysia dan Norway - atau dijangka pasaran untuk berbuat demikian di dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
IMF berkata langkah rangsangan yang disediakan oleh kerajaan-kerajaan berkenaan membuktikan satu sokongan utama sebagai respons terhadap kemelesetan yang buruk dan langkah yang dirancang bagi 2010 sepatutnya dilaksanakan sepenuhnya jika diambil kira pemulihan yang rapuh ekonomi global.
KUCHING 22 April – Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah mengenal pasti calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu 16 Mei depan, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Abdul Taib yang juga Pengerusi BN negeri berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan nama calon BN itu yang semestinya dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
"Nama calon kita sudah ada, saya akan umum bila calon sudah sedia, saya akan bincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen menanam 26 juta pokok peringkat negeri Sarawak di Komplek Dewan Undangan Negeri Baru di Petra Jaya di sini hari ini.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu akibat barah hati.
Pada pilihan raya umum lepas, Robert Lau mengekalkan kerusi Parlimen Sibu dengan majoriti 3,235 undi dalam pertandingan tiga penjuru dengan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng dan Lim Chin Chuang (PKR). – Bernama
KUALA LUMPUR: Mulai 1 Julai, kira-kira 150,000 pengawal keselamatan dalam industri kawalan keselamatan akan menikmati kenaikan gaji antara 67 dan 75 peratus.
Mengumumkan perkara itu hari ini, Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam, berkata dengan kenaikan gaji itu, gaji bersih pekerja dalam sektor kawalan keselamatan akan berada dalam lingkungan antara RM1,100 dan RM1,450 sebulan.
Gaji minimum pekerja sektor kawalan keselamatan masa ini adalah dalam lingkungan antara RM300 dan RM400 sebulan. Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Subramaniam berkata keputusan menaikkan gaji itu dilakukan mengikut Akta Majlis Penetapan Gaji 1947.
"Kami akan menaikkan gaji berasaskan kepada pelbagai zon geografi dan butiran mengenainya akan diumumkan kemudian," katanya.
Menteri Sumber Manusia itu berkata, proses sama akan dilakukan bagi para pekerja dalam industri tekstil, elektronik dan hospitaliti.
Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata kementerian sedang menyemak semula perundangan buruh bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi selaras dengan Model Ekonomi Baru, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada akhir Mac lalu. "Dalam proses kajian semula itu, kementerian akan menggunakan pendekatan perbincangan terbuka dan telus seperti mengadakan taklimat dan perbincangan dengan wakil-wakil majikan seperti Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan wakil pekerja iaitu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) dan Cuepacs," katanya.
Subramaniam berkata, perbincangan ini bertujuan menjelaskan konsep kajian dan perkara yang dipertimbangkan untuk tujuan pembaharuan.
"Kami berharap untuk menerima maklum balas daripada pelbagai sektor terhadap cadangan-cadangan perubahan dan menerusi maklum balas berkenaan, kita gubal keputusan akhir," katanya. - Bernama
HULU SELANGOR, 17 April (Bernama) -- Pilihan raya kecil Parlimen kerusi Hulu Selangor (P094) pada 25 April ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon Bebas.
Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan akan ditentang oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor V.S. Chandran dan Johan Mohd Diah, seorang peniaga.
Senarai calon yang bertanding itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Nor Hisham Ahmad Dahlan yang juga Pegawai Daerah Hulu Selangor di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru kira-kira 11.15 pagi.
Keempat-empat mereka menyerahkan borang pencalonan selepas pusat penamaan dibuka pada pukul 9 pagi. Tiada bantahan semasa tempoh bantahan selama satu jam.
Zaid menyerahkan borang pada pukul 9.06 pagi, diikuti Kamalanathan 9.30 pagi, Chandran empat minit kemudian dan Johan pada 9.36 pagi.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas. Kawasan itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.
Pada pilihan raya umum Mac 2008, Dr Zainal menang dengan majoriti 198 undi menewaskan penyandangnya ketika itu Datuk G. Palanivel yang kini Timbalan Presiden MIC.
Parlimen Hulu Selangor yang sebesar negeri Melaka itu terbahagi kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N05 Hulu Bernam, N06 Kuala Kubu Baru dan N07 Batang Kali, yang ketiga-tiganya dikuasai BN.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai perarakan calon BN dari Pejabat UMNO Hulu Selangor.
Antara pemimpin parti-parti komponen BN yang turut hadir ialah Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Naib-naib presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Pengerusi BN Selangor dan Pengarah Jentera Pilihan Raya kecil ini Datuk Seri Noh Omar dan ribuan penyokong.
Perarakan calon PKR diketuai Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang .
Proses pencalonan berjalan lancar dengan kawalan ketat lebih 1,000 anggota polis tetapi berlaku sedikit kekecohan apabila Samy, Mohd Shafie dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk R. Ganeson cedera ringan apabila terkena dawai berduri selepas terjatuh akibat diasak oleh penyokong-penyokong BN ketika hendak masuk ke pusat penamaan.
Kejadian itu berlaku kira-kira 9.25 pagi apabila polis hanya membenarkan 100 orang pemimpin dan penyokong setiap parti yang bertanding memasuki pusat penamaan.
Ketika tiba di dewan itu, ketiga-tiga mereka terjatuh akibat diasak oleh para penyokong yang cuba memasuki pusat penamaan itu dan mereka terkena dawai berduri yang diletakkan oleh pasukan keselamatan untuk mengawal keadaan.
Mereka kemudiannya dirawat oleh pegawai perubatan di sebuah ambulans yang diletakkan di dalam pusat penamaan.
Beribu-ribu penyokong dari BN dan pakatan PKR, DAP dan PAS telah tiba di pekan kecil Kuala Kubu Baru sejak awal pagi tadi, menyebabkan kesesakan lalu lintas beberapa kilometer menuju ke pusat penamaan.
Pihak polis turut menggunakan helikopter untuk memantau keselamatan proses penamaan calon itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Sibu ditetapkan pada Ahad, 16 Mei ini.
Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (berbaju Melayu jingga), penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 8 Mei.
Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat hampir tiga jam di pejabat SPR di Shah Alam.
Proses penamaan calon dan penjumlahan undi rasmi bagi pilihan raya kecil itu akan dilaksanakan di Dewan Suarah, Sibu, katanya pada sidang media hari ini.
Pilihan raya kecil itu perlu diadakan mengikut Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu.
Aziz berkata SPR telah pun menerima surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat beserta sijil kematian Lau, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 12 April lalu dan SPR memastikan kekosongan kerusi Parlimen Sibu pada 10 April.
"Mengikut perlembagaan, pilihan raya kecil perlu diadakan 60 hari selepas tarikh kekosongan kerusi itu dipastikan," katanya.
Pada majlis ini, Aziz juga menyampaikan watikah pelantikan sebagai pegawai pengurus pilihan raya kecil Parlimen Sibu kepada Pegawai Daerah Sibu, Wong See Meng (kiri).
Beliau berkata Wong mempunyai pengalaman dalam mengendalikan beberapa pilihan raya umum di Sibu dan akan dibantu oleh empat penolong pegawai pengurus daripada beberapa jabatan kerajaan negeri di Sarawak.
Aziz berkata bagi pilihan raya kecil ini, SPR akan menggunakan daftar pemilih induk 2009 yang dikemaskini sehingga 9 April tahun ini.
Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 52,158 pemilih biasa dan 2,537 pengundi pos, terdiri daripada 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.
Proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dibuat di Pejabat Daerah Sibu.
Kerusi parlimen Sibu kosong berikutan kematian ahli parlimennya yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Robert Lau Hui Choi, minggu lalu.
Lau, 68, dari SUPP memenangi kerusi tersebut pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 3,235 undi. Beliau menewaskan calon DAP Wong Ho Leng dan calon PKR Lim Chin Chuang.
Dia mendapat 19,138 undi manakala Wong mendapat 15,903 undi dan Lim (812).
Lau mewakili parlimen Sibu sejak 1990.
Dalam pilihan raya umum 2008, parlimen Sibu mempunyai 53,679 pengundi, dengan majoriti kaum Cina (60 peratus), Melanau (20 peratus), Iban (18 peratus) dan Orang Ulu (1.1 peratus).
Keluarga Lau memiliki kumpulan KTS - sebuah konglomerat yang terbabit dalam industri pembalakan dan media.
Kumpulan KTS memiliki beberapa akhbar termasuk Borneo Post dan Oriental Daily News.
KUALA LUMPUR 16 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa media massa supaya memainkan peranan meminimumkan perasaan kebencian, pertelagahan dan prejudis di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu boleh dilakukan sekiranya media massa berpegang kepada cara kerja beridentitikan Malaysia yang sentiasa berusaha memaksimumkan hujah yang berasas yang membentuk keharmonian.
''Bantulah meminimumkan sikap serta perasaan negatif ini, malah lebih murni lagi sekiranya ia ditiadakan.
''Minimumkan juga ciri-ciri media yang sombong, tidak sensitif, tidak tepat, bias yang keterlaluan dan sensasi tidak berhemah," katanya ketika berucap pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2010 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2009 di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya.
Selaras dengan peranan membentuk persepsi rakyat Malaysia dan bagaimana dunia melihat negara ini, Muhyiddin berharap media massa terus amanah dalam menyampaikan maklumat kepada khalayak masing-masing.
''Memang lebih mudah menjual dan menarik perhatian melalui cerita-cerita sensasi, namun ia tidak menepati kriteria berita yang memerlukan anda bersikap objektif serta tidak berat sebelah.
''Ketepikan pandangan peribadi anda ketika bertugas. Laporkan berita berdasar kenyataan yang dibuat oleh individu terbabit dan janganlah ditokok tambah 'perencah' hanya untuk 'menyedapkan' hidangan berita tersebut," katanya.
Menurut Muhyiddin, beliau mengulangi nasihat itu yang sering kali diutarakan oleh ramai pemimpin negara kerana dirinya baru-baru ini pernah menjadi 'mangsa' keadaan.
''Baru-baru ini saya telah menerima reaksi negatif apabila terdapat portal berita yang melaporkan perkara tidak benar mengenai kenyataan saya apabila ia dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan kekeliruan.
''Sekiranya mana-mana pemberita tidak faham mengenai kenyataan yang saya buat, jangan berasa segan untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas. Anda hanya perlu bertanya, jangan bimbang, saya tidak menggigit," katanya berseloroh.
Dalam pada itu, menyentuh hubungan antara media massa dan kerajaan, beliau berharap kedua-duanya menjadi rakan akrab dalam pembangunan negara bagi menjamin kesejahteraan Malaysia.
''Saya berharap saudara-saudara semua memahami betapa berpengaruhnya media tempat saudara-saudara bekerja, tidak kira betapa besar atau sekecil mana organisasi media itu.
''Oleh itu, saya harus berterus terang bahawa di mana-mana negara sekalipun, kerajaan memerlukan sokongan media. Saya tidak meminta saudara memuji atau mengampu kerajaan atau menyembunyikan kebenaran.
''Hubungan mesra kerajaan dan media tidak semestinya menghakis kredibiliti kita dan saya percaya kepada ketelusan dalam penyampaian maklumat mahupun dalam apa-apa tugas yang dijalankan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menggesa media massa supaya meneruskan peranan sebagai mata dan telinga masyarakat termasuk bagi pihak orang ramai, ahli perniagaan dan para pentadbir serta pemimpin.
''Wartawan harus membantu kuasa (pentadbiran) pusat memahami persepsi masyarakat dalam sesuatu perkara dengan niat utamanya adalah untuk membaiki mutu kehidupan masyarakat, kualiti pentadbiran dan meninggikan demokrasi.
''Saya juga berpegang kepada pendirian bahawa tiada demokrasi tanpa media. Industri media begitu subur pertumbuhannya di Malaysia dan ini menunjukkan nilai-nilai tinggi demokrasi di negara ini," katanya.
Sebanyak 52 badan korporat menjadi penaja kepada majlis malam ini yang turut disertai wartawan dari Sabah, Sarawak dan Indonesia.
KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Penerbangan Malaysia Airlines' (MAS) yang dijadualkan berlepas ke London dan lain-lain bandaraya Eropah pada Khamis dan hari Jumaat telah dijadual semula berikutan penutupan lapangan terbang yang disebabkan debu akibat letusan gunung berapi di Iceland.
Penerbangan MH20-Paris, MH2-London dan MH16-Amsterdam pada Khamis telah dijadualkan semula kepada masing-masing 11.35pm, 11.40pm dan 11.55pm pada Sabtu.
Penerbangan ke London pada Jumaat juga telah ditangguhkan kepada Ahad pada 10.05pm dan 10pm, kata MAS dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut kenyataan itu, pengecualian akan diberikan bagi bayaran penalti kepada pelanggan yang memegang tiket tambang khas dengan terma-terma dan syarat yang terhad sehingga 30 April.
Bagaimanapun, bagi sebarang pertukaran tempahan berikutnya, bayaran penalti akan dikenakan dan bayaran balik tidak terpakai.
Ia juga berkata, para pelanggan yang memegang tiket yang membenarkan pertukaran tarikh perjalanan boleh berbuat demikian tanpa yuran penalti. Bayaran balik dibenarkan dan ia tertakluk kepada yuran pentadbiran bagi bayaran balik
Penerbangan itu menasihatkan penumpang mengikuti perkembangan terbaharu di laman web MAS di www.malaysiaairlines.com atau menghubungi Pusat Panggilan MAS di 1300-88-3000 (dalam Malaysia) atau 603-7843-3000 (di luar Malaysia) sebelum pergi ke lapangan terbang.
KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mempertimbangkan permohonan pencarum untuk mengeluarkan wang daripada akaun dua mereka untuk membina semula rumah yang musnah disebabkan kebakaran.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, walaupun kebakaran tidak termasuk dalam istilah bencana yang diiktiraf oleh KWSP, permohonan pengeluaran wang caruman masih boleh dibuat jika mendapat pengesahan daripada bomba dan polis.
Katanya, KWSP boleh mempertimbangkan permohonan bagi pengeluaran pembelian atau pembinaan rumah baru untuk menggantikan rumah yang musnah dalam kebakaran dan permohonan sebegitu pernah diluluskan sebelum ini.
“Jumlah pengeluaran yang boleh dibuat turut berdasarkan nilai rumah baru yang perlu dibangunkan semula bagi menggantikan kediaman yang terbakar,” katanya menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu).
Beliau berkata, pembinaan semula rumah yang musnah itu bergantung kepada jumlah caruman akaun kedua.
“Ia juga tertakluk kepada pengesahan pihak berkuasa mengenai nilai kediaman yang musnah dan kerosakan mesti menyeluruh sehingga ia tidak boleh digunakan. Kalau dapur saja yang musnah, permohonan tidak boleh dibuat," katanya.
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) — Hak rakyat di negara ini untuk mendapatkan maklumat adalah terjamin, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie berkata, pelaksanaan Gagasan 1Malaysia yang lebih telus dan terbuka misalnya telah memberi ruang kepada rakyat untuk mendapatkan sebarang maklumat yang diperlukan selagi ia tidak menyalahi undang-undang yang telah digariskan.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Charles Anthony Santiago (DAP-Klang) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk menggubal Undang-undang Hak Untuk Mendapatkan Maklumat sebagai fokus ketujuh dalam Program Transformasi Kerajaan untuk menjamin kepentingan rakyat dan mengembalikan keyakinan terhadap kerajaan.
KLANG, 8 April (Bernama) -- Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata rakyat Malaysia kini menikmati tahap kesihatan oral lebih baik berbanding ibu bapa mereka.
Dalam zaman ini, kebanyakan rakyat pertengahan umur dan golongan remaja akan dapat mengekalkan gigi asal mereka hingga sepanjang hayat, katanya ketika melancarkan Bulan Kesihatan Oral anjuran bersama Colgate-Palmolive Marketing Sdn Bhd dan Persatuan Pergigian Malaysia di sini pada hari Khamis.
Liow berkata bahawa Malaysia telah mencapai kemajuan besar dalam meningkatkan mutu kesihatan oral sejak 50 tahun yang lepas walaupun masih ada rakyat negara ini yang mengalami penyakit oral yang sepatutnya boleh dicegah.
Kebanyakan mereka ini, katanya, terdiri golongan yang tidak berpeluang mendapat maklumat atau sumber bagi menikmati kesihatan oral yang baik.
"Usaha menjamin kesamarataan dalam bidang kesihatan ini merupakan satu cabaran besar. Kita perlukan pendekatan yang pelbagai termasuk penjagaan klinikal, program kemasyarakatan dan penyelidikan," katanya.
Liow berkata bahawa tahun lepas, 62.3 peratus daripada mereka yang berumur 12 tahun dan 53 peratus yang berumur 16 tahun di Malaysia tidak mengalami sebarang masalah gigi berlubang.
Bagaimanapun, hanya 32.2 peratus kanak-kanak berumur enam tahun yang tidak mengalami masalah gigi reput, katanya.
Tahun lepas, seramai 566,685 kanak-kanak tadika dan 2.7 juta pelajar sekolah rendah diberi tunjuk ajar mengenai cara menggosok gigi yang betul.
PAPAR, 8 April (Bernama) -- Para peniaga kecil-kecilan dan nelayan diingati agar tidak membuat pinjaman dengan peminjam ceti haram atau ah long kerana perbuatan itu akan menyusahkan diri sendiri, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Abdul Rahim Ismail.
Katanya membuat pinjaman dengan ah long bukan cara yang terbaik memandangkan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman lain.
Abdul Rahim, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Manis, berkata tidak dinafikan terdapat para peniaga kecil-kecilan yang membuat pinjaman dengan ah long selepas gagal mendapat pinjaman dari bank bagi tujuan meningkatkan perniagaan tetapi lain pula yang berlaku apabila mereka terikat dengan bayaran pinjaman ah long.
"Membuat pinjaman dengan ah long bukanlah cara yang betul kepada para peniaga atau pun nelayan kerana ia akan menyusahkan diri mereka di samping terikat dengan kadar faedah yang tinggi."
"Ah long juga akan merosakkan perniagaan, maruah dan keluarga peminjam terbabit," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) kepada para peniaga di pejabat Umno bahagian di sini.
Menurutnya, kerajaan telah menyediakan pinjaman mikro kredit melalui agensi-agensi kerajaan dan bank konvensional yang terbuka kepada semua kaum.
Mengenai Tekun, Abdul Rahim berkata Tekun menyediakan pinjaman mikro kredit sehingga RM50,000 kepada para peniaga.
Katanya apa yang perlu dilakukan ialah mengemukakan dokumen yang dikehendaki oleh pihak Tekun untuk diproses.
"Pinjaman melalui Tekun merupakan cara yang terbaik kerana ia menyediakan kadar faedah yang rendah di samping syarat permohonan yang mudah," katanya.
Pada majlis itu, Tekun meluluskan pinjaman seramai 22 orang peniaga yang bernilai RM124,000.
Abdul Rahim seterusnya menasihati peminjam Tekun agar membayar balik pinjaman mereka kepada agensi itu mengikut masa yang ditetapkan.
Katanya Tekum bersedia bertolak ansur dengan peminjam yang tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik hutang atas sebab-sebab tertentu dan menjadualkan semula pungutan hutang berkenaan.
"Tekun tidak dapat memenuhi banyak permohonan kerana dana yang terhad sekiranya peminjan Tekun yang lain tidak membayar pinjaman mereka," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April.
Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 17 April.
Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat selama dua jam di pejabatnya di Putrajaya.
Katanya, SPR menerima pemakluman kekosongan kerusi Hulu Selangor pada 29 Mac oleh speaker Dewan Rakyat.
Writ pilihan raya akan dikeluarkan hari ini - 2 April dan notisnya pula akan dikeluarkan tiga hari selepas itu.
SPR juga mengumumkan pelatinkan pegawai daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan tujuh orang pembantunya.
Abdul Aziz berkata, Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah mensyaratkan supaya kekosongan kerusi yang berlaku perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.
Katanya, Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi sementara pusat mengundi akan melibatkan 46 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai dengan 146 saluran mengundi.
Kawasan pilihan raya parlimen Hulu Selangor itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.
Katanya 32,380 pengundi terdiri daripada pengundi lelaki manakala 32,120 adalah wanita.
Daripada jumlah tersebut, Abdul Aziz berkata kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus.
Mengenai undi pos, beliau berkata ia mungkin diadakan dua hari sebelum hari mengundi dan proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dilakukan di Pejabat Daerah Hulu Selangor.
Beliau juga berkata SPR akan menubuhkan enam pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) mengikut Seksyen 27B AKta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen dari hari penamaan calon sehingga tamat hari pengundian.
Kerusi Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.
Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.
Kematian Zainal Abidin dilihat ramai penganalisis memburukkan lagi keadaan di PKR yang baru-baru menghadapi masalah apabila tiga ahli parlimennya berpaling tadah manakala seorang lagi dipecat.
Bagaimanapun, kekosongan kerusi Hulu Selangor juga bukan berita gempira bagi Barisan Nasional yang menghadapi dilema untuk mencari calon yang sesuai.
Sejak kematian bekas timbalan menteri besar Selangor itu, Umno berusaha keras untuk melobi kerusi itu yang secara tradisinya diserahkan kepada sekutunya, MIC.
JOHOR BAHARU, 3 Apr (Bernama) -- Pihak yang bertanggungjawab membangunkan Iskandar Malaysia perlu menggunakan rangkaian syarikat multinasional antarabangsa yang meluas di Singapura untuk mempromosi wilayah ekonomi khas itu.
Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, maklumat tentang pembangunan Iskandar Malaysia di kalangan multinasional antarabangsa di republik terbabit serta pelabur Singapura pada ketika ini adalah tidak mencukupi.
"Kita perlu mengambil peluang daripada 'network' luas yang terdapat di Singapura untuk menyampaikan tentang maklumat yang langsung dan terkini berkenaan pembangunan Iskandar Malaysia," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Beliau berkata demikian selepas meraikan kedatangan 12 anggota Majlis Belia Kebangsaan (NYC) Singapura yang diketuai oleh Eng Tok Ching, yang juga Pengarah Gardenasia Pte Ltd. Iskandar Malaysia terletak dalam kawasan Parlimen Pulai.
Menurut Nur Jazlan, Singapura sebagai jiran terdekat Malaysia serta wilayah ekonomi khas Iskandar Malaysia boleh memainkan peranan penting di dalam usaha untuk menjayakan pembangunan jangka panjang di wilayah ekonomi khas itu.
Iskandar Malaysia yang merangkumi keluasan tanah 2,270 km persegi di selatan Johor atau kira-kira dua kali ganda keluasan Singapura telah dilancarkan pada akhir 2006.
Sejak dilancarkan, Iskandar Malaysia telah berjaya menarik sebanyak RM52 bilion pelaburan daripada dalam dan luar negara.
Ching berkata, maklumat tentang pembangunan Iskandar Malaysia amat sukar diperolehi di Singapura dan ini mendatangkan masalah kepada mereka yang berminat untuk turut serta dalam pembangunan wilayah ekonomi tersebut.
Delegasi Singapura itu turut dibawa menaiki kapal persiaran dan melayari Sungai Danga sehingga ke Laluan Kedua untuk meninjau pelbagai pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan di Iskandar Malaysia.
KUALA LUMPUR: Sepanjang setahun menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan banyak perubahan dasar bukan saja membawa keuntungan kepada penjawat awam, tetapi juga kepada masyarakat pengguna, pekebun kecil, anak peneroka dan guru.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata keputusan Najib mengembalikan semula fungsi jabatannya sebagai pengeluar persijilan halal adalah sangat tepat pada waktunya.
Penekanan terhadap aspek perundangan menerusi cadangan penggubalan Akta Perihal Halal yang diumumkan Perdana Menteri pada Bajet 2010 serta penubuhan pusat penyelidikan halal milik Jakim akan menjadikannya sebuah badan pengurusan sijil halal yang kompeten di rantau ini, katanya.
Najib juga mengumumkan imbuhan khas tetap sepanjang hayat kepada qari dan qariah yang pernah menjadi johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa sebanyak RM2,000 sebulan mulai Oktober tahun lalu; mewujudkan jawatan kontrak berskim kepada 383 penyelia Kafa di seluruh negara; langkah mengiktiraf Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata keputusan Najib meletakkan pendidikan sebagai antara enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah komitmen tinggi Perdana Menteri dalam memastikan sektor pendidikan di negara berada pada kualiti yang tinggi.
Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata persetujuan Najib untuk menguatkuasakan Akta Halal pada tahun depan menjadi berita yang paling menggembirakan masyarakat pengguna Islam di negara ini.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPM), Datuk Aliasak Ambia, berkata Najib juga tidak meminggirkan sektor luar termasuk faedah kepada pekebun kecil dalam pembentangan Model Ekonomi Baru (MEB), baru-baru ini. Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (PAPFK), Zubidie Abad pula berkata nasib anak peneroka sangat diberi perhatian dan terbela sejak Najib menjadi Perdana Menteri.
Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia, Datuk K K Eswaran juga yakin kepemimpinan Perdana Menteri akan turut membantu peniaga India memacu ekonomi negara.
HULU SELANGOR, 3 April (Bernama) -- Sempena ulang tahun pertama pentadbirannya hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berikrar untuk terus bekerja bersungguh-sungguh dan mendokong amanah rakyat supaya negara terus berjaya.
"Sempena ulang tahun yang pertama ini saya berikrar sekali lagi bersama-sama dengan rakan-rakan saya dalam pentadbiran saya bahawa kami akan bekerja bersungguh-sungguh supaya negara kita ini terus berjaya dan bukan sebaliknya," katanya ketika berucap melancarkan Yayasan Kelana Ehsan (YKE) di Felda Sungai Tengi di sini pada Sabtu.
Najib berkata sepanjang setahun menjadi Perdana Menteri, beliau mengakui bukan mudah untuk mentadbir negara dan memimpin sebuah kerajaan kerana beliau menggalas tugas yang besar yang diberi rakyat.
"Negara Malaysia tidaklah semudahnya untuk ditadbir, saya amat merasai perkara ini apatah lagi setelah diberi kepercayaan untuk menjadi ketua kerajaan dan Perdana Menteri.
"Saya amat memahami dan saya dapat menghayati apa yang saya rasa bahawa tidak mudah untuk kita memimpin sebuah kerajaan Malaysia kita ini, selama tempoh setahun saya menggalas amanah ini saya dapat merasai betapa bebanan yang terpaksa saya pikul di atas bahu saya," katanya.
Najib berkata menjadi ketua kerajaan juga membuatkan beliau insaf kerana perlu berhati-hati dalam membuat keputusan bagi memastikan ia boleh menguntungkan rakyat.
"Mungkin kalau dulu saya jadi menteri pun saya tak rasa sangat, naik setakuk lagi saya jadi timbalan pun saya bukan merupakan kuasa penentu...masih boleh bersandar pada Perdana Menteri.
"Tetapi bila dah jadi Perdana Menteri, saya amat insaf dan saya amat terasa bahawa apa-apa pun yang saya buat keputusan ianya merujuk kepada tanggungjawab saya untuk membuat keputusan yang tepat, keputusan yang boleh menguntungkan rakyat," katanya.
Selain itu, beliau terpaksa berkorban masa dengan keluarga disebabkan tugas dan tanggungjawabnya itu.
"Waktu siang saya semakin panjang, waktu malam saya semakin pendek. Isteri saya pun dah mengadu kat saya, dia kata saya ni dengar masalah orang lain tidak dengar masalah dia, itulah adat bila dah jadi pemimpin negara, saya terima ini semua sebab inilah kepercayaan rakyat berikan pada saya," katanya.
Menyentuh kaji selidik Merdeka Centre yang melaporkan sebanyak 68 peratus rakyat Malaysia berpuas hati dengan prestasinya selaku Perdana Menteri, Najib hanya tersenyum.
"Ada juga orang buat kaji selidik katanya tahap penerimaan saya sudah mencecah 68 peratus, katanyalah...saya tak tahulah apa ukuran kepercayaan ini tetapi saya dapat lihat pada wajah tuan-tuan dan puan-puan bila saya bersalaman pagi tadi, nampaknya air muka yang manis.
"Bila saya bersalaman saya dapat 'current' (arus) yang baik, yang positif bukan 'current' yang menyentakkan saya, itu mungkin satu ukuran," katanya disambut sorakan orang ramai.
Najib juga bersyukur sepanjang setahun tempoh pentadbirannya, kerajaan telah membawa banyak perubahan yang menguntungkan rakyat.
"Sesetengah perubahan itu kita dah nampak, sesetengah perubahan itu menunggu masa keberhasilannya, ibarat kita tanam pokok takkan hari ini kita hendak petik buah, ada juga sehari dua boleh nampak kejayaan, ada juga yang makan masa, tetapi saya amat teliti akan perkara ini," katanya.
Beliau juga akan memastikan segala janji BN kepada rakyat akan dilaksanakan kerana perjuangan parti adalah untuk membantu dan membela kepentingan rakyat.
Beliau juga membidas pembangkang yang hanya pandai menabur janji tapi susah untuk merealisasikannya.
"Janganlah janji tapi banyak tak buat, janji bagi ibu tunggal RM600 sebulan, tidak buat, soal pasir pun macam-macam isu sampai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) masuk, sebab apa, sebab bila jadi pembangkang mudah, jadi kerajaan baru tahu.
"Kita dah lama tahu mentadbir negara kita, BN tahu dan ada pengalaman memimpin negara kita," katanya.
Candy Crush Saga
-
Candy Crush Tools Online ,this is the candy crush saga is an addictive
delicious candy popping adventure puzzle game which test your wits and
braib with o...
Sebarang maklumat, artikel, pandangan atau bahan penulisan yang tertera dalam blog ini yang bukan ditulis atau disediakan oleh pemilik blog adalah menjadi tanggungjawab atau liabiliti sepenuhnya penyumbang atau penghantar bahan berkenaan dan pemilik blog menafikan sebarang tanggungjawab atau liabiliti ke atas bahan itu.