April 17, 2010

Penerbangan MAS Ke London & Eropah Dijadual Semula

KUALA LUMPUR, 16 April (Bernama) -- Penerbangan Malaysia Airlines' (MAS) yang dijadualkan berlepas ke London dan lain-lain bandaraya Eropah pada Khamis dan hari Jumaat telah dijadual semula berikutan penutupan lapangan terbang yang disebabkan debu akibat letusan gunung berapi di Iceland.

Penerbangan MH20-Paris, MH2-London dan MH16-Amsterdam pada Khamis telah dijadualkan semula kepada masing-masing 11.35pm, 11.40pm dan 11.55pm pada Sabtu.

Penerbangan ke London pada Jumaat juga telah ditangguhkan kepada Ahad pada 10.05pm dan 10pm, kata MAS dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, pengecualian akan diberikan bagi bayaran penalti kepada pelanggan yang memegang tiket tambang khas dengan terma-terma dan syarat yang terhad sehingga 30 April.

Bagaimanapun, bagi sebarang pertukaran tempahan berikutnya, bayaran penalti akan dikenakan dan bayaran balik tidak terpakai.

Ia juga berkata, para pelanggan yang memegang tiket yang membenarkan pertukaran tarikh perjalanan boleh berbuat demikian tanpa yuran penalti. Bayaran balik dibenarkan dan ia tertakluk kepada yuran pentadbiran bagi bayaran balik

Penerbangan itu menasihatkan penumpang mengikuti perkembangan terbaharu di laman web MAS di www.malaysiaairlines.com atau menghubungi Pusat Panggilan MAS di 1300-88-3000 (dalam Malaysia) atau 603-7843-3000 (di luar Malaysia) sebelum pergi ke lapangan terbang.

-- BERNAMA

No comments: