KUCHING 22 April – Barisan Nasional (BN) Sarawak sudah mengenal pasti calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu 16 Mei depan, kata Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Abdul Taib yang juga Pengerusi BN negeri berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan nama calon BN itu yang semestinya dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
"Nama calon kita sudah ada, saya akan umum bila calon sudah sedia, saya akan bincang dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak),” katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen menanam 26 juta pokok peringkat negeri Sarawak di Komplek Dewan Undangan Negeri Baru di Petra Jaya di sini hari ini.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April lalu akibat barah hati.
Pada pilihan raya umum lepas, Robert Lau mengekalkan kerusi Parlimen Sibu dengan majoriti 3,235 undi dalam pertandingan tiga penjuru dengan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng dan Lim Chin Chuang (PKR). – Bernama
No comments:
Post a Comment