April 3, 2010

PM utama kepentingan negara, rakyat

KUALA LUMPUR: Sepanjang setahun menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melakukan banyak perubahan dasar bukan saja membawa keuntungan kepada penjawat awam, tetapi juga kepada masyarakat pengguna, pekebun kecil, anak peneroka dan guru.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata keputusan Najib mengembalikan semula fungsi jabatannya sebagai pengeluar persijilan halal adalah sangat tepat pada waktunya.

Penekanan terhadap aspek perundangan menerusi cadangan penggubalan Akta Perihal Halal yang diumumkan Perdana Menteri pada Bajet 2010 serta penubuhan pusat penyelidikan halal milik Jakim akan menjadikannya sebuah badan pengurusan sijil halal yang kompeten di rantau ini, katanya.
Najib juga mengumumkan imbuhan khas tetap sepanjang hayat kepada qari dan qariah yang pernah menjadi johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa sebanyak RM2,000 sebulan mulai Oktober tahun lalu; mewujudkan jawatan kontrak berskim kepada 383 penyelia Kafa di seluruh negara; langkah mengiktiraf Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Lok Yim Pheng, berkata keputusan Najib meletakkan pendidikan sebagai antara enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) adalah komitmen tinggi Perdana Menteri dalam memastikan sektor pendidikan di negara berada pada kualiti yang tinggi.

Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, berkata persetujuan Najib untuk menguatkuasakan Akta Halal pada tahun depan menjadi berita yang paling menggembirakan masyarakat pengguna Islam di negara ini.

Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun Kecil Malaysia (PKPM), Datuk Aliasak Ambia, berkata Najib juga tidak meminggirkan sektor luar termasuk faedah kepada pekebun kecil dalam pembentangan Model Ekonomi Baru (MEB), baru-baru ini.
Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (PAPFK), Zubidie Abad pula berkata nasib anak peneroka sangat diberi perhatian dan terbela sejak Najib menjadi Perdana Menteri.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia, Datuk K K Eswaran juga yakin kepemimpinan Perdana Menteri akan turut membantu peniaga India memacu ekonomi negara.


Sumber : Berita Harian

No comments: