PAPAR, 8 April (Bernama) -- Para peniaga kecil-kecilan dan nelayan diingati agar tidak membuat pinjaman dengan peminjam ceti haram atau ah long kerana perbuatan itu akan menyusahkan diri sendiri, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Abdul Rahim Ismail.
Katanya membuat pinjaman dengan ah long bukan cara yang terbaik memandangkan kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan pinjaman lain.
Abdul Rahim, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pantai Manis, berkata tidak dinafikan terdapat para peniaga kecil-kecilan yang membuat pinjaman dengan ah long selepas gagal mendapat pinjaman dari bank bagi tujuan meningkatkan perniagaan tetapi lain pula yang berlaku apabila mereka terikat dengan bayaran pinjaman ah long.
"Membuat pinjaman dengan ah long bukanlah cara yang betul kepada para peniaga atau pun nelayan kerana ia akan menyusahkan diri mereka di samping terikat dengan kadar faedah yang tinggi."
"Ah long juga akan merosakkan perniagaan, maruah dan keluarga peminjam terbabit," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) kepada para peniaga di pejabat Umno bahagian di sini.
Menurutnya, kerajaan telah menyediakan pinjaman mikro kredit melalui agensi-agensi kerajaan dan bank konvensional yang terbuka kepada semua kaum.
Mengenai Tekun, Abdul Rahim berkata Tekun menyediakan pinjaman mikro kredit sehingga RM50,000 kepada para peniaga.
Katanya apa yang perlu dilakukan ialah mengemukakan dokumen yang dikehendaki oleh pihak Tekun untuk diproses.
"Pinjaman melalui Tekun merupakan cara yang terbaik kerana ia menyediakan kadar faedah yang rendah di samping syarat permohonan yang mudah," katanya.
Pada majlis itu, Tekun meluluskan pinjaman seramai 22 orang peniaga yang bernilai RM124,000.
Abdul Rahim seterusnya menasihati peminjam Tekun agar membayar balik pinjaman mereka kepada agensi itu mengikut masa yang ditetapkan.
Katanya Tekum bersedia bertolak ansur dengan peminjam yang tidak mempunyai kemampuan untuk membayar balik hutang atas sebab-sebab tertentu dan menjadualkan semula pungutan hutang berkenaan.
"Tekun tidak dapat memenuhi banyak permohonan kerana dana yang terhad sekiranya peminjan Tekun yang lain tidak membayar pinjaman mereka," katanya.
Sumber-- BERNAMA
Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram
-
MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat
yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari
gerga...
5 years ago
No comments:
Post a Comment