April 3, 2010

Gunakan Rangkaian Luas Di Singapura Untuk Promosi Iskandar Malaysia

JOHOR BAHARU, 3 Apr (Bernama) -- Pihak yang bertanggungjawab membangunkan Iskandar Malaysia perlu menggunakan rangkaian syarikat multinasional antarabangsa yang meluas di Singapura untuk mempromosi wilayah ekonomi khas itu.

Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, maklumat tentang pembangunan Iskandar Malaysia di kalangan multinasional antarabangsa di republik terbabit serta pelabur Singapura pada ketika ini adalah tidak mencukupi.

"Kita perlu mengambil peluang daripada 'network' luas yang terdapat di Singapura untuk menyampaikan tentang maklumat yang langsung dan terkini berkenaan pembangunan Iskandar Malaysia," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas meraikan kedatangan 12 anggota Majlis Belia Kebangsaan (NYC) Singapura yang diketuai oleh Eng Tok Ching, yang juga Pengarah Gardenasia Pte Ltd. Iskandar Malaysia terletak dalam kawasan Parlimen Pulai.

Menurut Nur Jazlan, Singapura sebagai jiran terdekat Malaysia serta wilayah ekonomi khas Iskandar Malaysia boleh memainkan peranan penting di dalam usaha untuk menjayakan pembangunan jangka panjang di wilayah ekonomi khas itu.

Iskandar Malaysia yang merangkumi keluasan tanah 2,270 km persegi di selatan Johor atau kira-kira dua kali ganda keluasan Singapura telah dilancarkan pada akhir 2006.

Sejak dilancarkan, Iskandar Malaysia telah berjaya menarik sebanyak RM52 bilion pelaburan daripada dalam dan luar negara.

Ching berkata, maklumat tentang pembangunan Iskandar Malaysia amat sukar diperolehi di Singapura dan ini mendatangkan masalah kepada mereka yang berminat untuk turut serta dalam pembangunan wilayah ekonomi tersebut.

Delegasi Singapura itu turut dibawa menaiki kapal persiaran dan melayari Sungai Danga sehingga ke Laluan Kedua untuk meninjau pelbagai pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan di Iskandar Malaysia.

Sumber-- BERNAMA

No comments: