HULU SELANGOR, 17 April (Bernama) -- Pilihan raya kecil Parlimen kerusi Hulu Selangor (P094) pada 25 April ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru di antara Barisan Nasional (BN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan dua calon Bebas.
Ketua Penerangan MIC P. Kamalanathan akan ditentang oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim, bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor V.S. Chandran dan Johan Mohd Diah, seorang peniaga.
Senarai calon yang bertanding itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Nor Hisham Ahmad Dahlan yang juga Pegawai Daerah Hulu Selangor di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baru kira-kira 11.15 pagi.
Keempat-empat mereka menyerahkan borang pencalonan selepas pusat penamaan dibuka pada pukul 9 pagi. Tiada bantahan semasa tempoh bantahan selama satu jam.
Zaid menyerahkan borang pada pukul 9.06 pagi, diikuti Kamalanathan 9.30 pagi, Chandran empat minit kemudian dan Johan pada 9.36 pagi.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac lepas. Kawasan itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.
Pada pilihan raya umum Mac 2008, Dr Zainal menang dengan majoriti 198 undi menewaskan penyandangnya ketika itu Datuk G. Palanivel yang kini Timbalan Presiden MIC.
Parlimen Hulu Selangor yang sebesar negeri Melaka itu terbahagi kepada tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu N05 Hulu Bernam, N06 Kuala Kubu Baru dan N07 Batang Kali, yang ketiga-tiganya dikuasai BN.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai perarakan calon BN dari Pejabat UMNO Hulu Selangor.
Antara pemimpin parti-parti komponen BN yang turut hadir ialah Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Naib-naib presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Timbalan Pengerusi BN Selangor dan Pengarah Jentera Pilihan Raya kecil ini Datuk Seri Noh Omar dan ribuan penyokong.
Perarakan calon PKR diketuai Ketua Pembangkang yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang .
Proses pencalonan berjalan lancar dengan kawalan ketat lebih 1,000 anggota polis tetapi berlaku sedikit kekecohan apabila Samy, Mohd Shafie dan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk R. Ganeson cedera ringan apabila terkena dawai berduri selepas terjatuh akibat diasak oleh penyokong-penyokong BN ketika hendak masuk ke pusat penamaan.
Kejadian itu berlaku kira-kira 9.25 pagi apabila polis hanya membenarkan 100 orang pemimpin dan penyokong setiap parti yang bertanding memasuki pusat penamaan.
Ketika tiba di dewan itu, ketiga-tiga mereka terjatuh akibat diasak oleh para penyokong yang cuba memasuki pusat penamaan itu dan mereka terkena dawai berduri yang diletakkan oleh pasukan keselamatan untuk mengawal keadaan.
Mereka kemudiannya dirawat oleh pegawai perubatan di sebuah ambulans yang diletakkan di dalam pusat penamaan.
Beribu-ribu penyokong dari BN dan pakatan PKR, DAP dan PAS telah tiba di pekan kecil Kuala Kubu Baru sejak awal pagi tadi, menyebabkan kesesakan lalu lintas beberapa kilometer menuju ke pusat penamaan.
Pihak polis turut menggunakan helikopter untuk memantau keselamatan proses penamaan calon itu.
-- BERNAMA
Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram
-
MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat
yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari
gerga...
5 years ago
No comments:
Post a Comment