KUALA LUMPUR 16 April - Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa media massa supaya memainkan peranan meminimumkan perasaan kebencian, pertelagahan dan prejudis di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu boleh dilakukan sekiranya media massa berpegang kepada cara kerja beridentitikan Malaysia yang sentiasa berusaha memaksimumkan hujah yang berasas yang membentuk keharmonian.
''Bantulah meminimumkan sikap serta perasaan negatif ini, malah lebih murni lagi sekiranya ia ditiadakan.
''Minimumkan juga ciri-ciri media yang sombong, tidak sensitif, tidak tepat, bias yang keterlaluan dan sensasi tidak berhemah," katanya ketika berucap pada Majlis Malam Wartawan Malaysia 2010 dan Penyampaian Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2009 di sini malam ini.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Shamsul Azhar Abbas dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya.
Selaras dengan peranan membentuk persepsi rakyat Malaysia dan bagaimana dunia melihat negara ini, Muhyiddin berharap media massa terus amanah dalam menyampaikan maklumat kepada khalayak masing-masing.
''Memang lebih mudah menjual dan menarik perhatian melalui cerita-cerita sensasi, namun ia tidak menepati kriteria berita yang memerlukan anda bersikap objektif serta tidak berat sebelah.
''Ketepikan pandangan peribadi anda ketika bertugas. Laporkan berita berdasar kenyataan yang dibuat oleh individu terbabit dan janganlah ditokok tambah 'perencah' hanya untuk 'menyedapkan' hidangan berita tersebut," katanya.
Menurut Muhyiddin, beliau mengulangi nasihat itu yang sering kali diutarakan oleh ramai pemimpin negara kerana dirinya baru-baru ini pernah menjadi 'mangsa' keadaan.
''Baru-baru ini saya telah menerima reaksi negatif apabila terdapat portal berita yang melaporkan perkara tidak benar mengenai kenyataan saya apabila ia dipetik di luar konteks sehingga menimbulkan kekeliruan.
''Sekiranya mana-mana pemberita tidak faham mengenai kenyataan yang saya buat, jangan berasa segan untuk mendapatkan penerangan yang lebih jelas. Anda hanya perlu bertanya, jangan bimbang, saya tidak menggigit," katanya berseloroh.
Dalam pada itu, menyentuh hubungan antara media massa dan kerajaan, beliau berharap kedua-duanya menjadi rakan akrab dalam pembangunan negara bagi menjamin kesejahteraan Malaysia.
''Saya berharap saudara-saudara semua memahami betapa berpengaruhnya media tempat saudara-saudara bekerja, tidak kira betapa besar atau sekecil mana organisasi media itu.
''Oleh itu, saya harus berterus terang bahawa di mana-mana negara sekalipun, kerajaan memerlukan sokongan media. Saya tidak meminta saudara memuji atau mengampu kerajaan atau menyembunyikan kebenaran.
''Hubungan mesra kerajaan dan media tidak semestinya menghakis kredibiliti kita dan saya percaya kepada ketelusan dalam penyampaian maklumat mahupun dalam apa-apa tugas yang dijalankan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menggesa media massa supaya meneruskan peranan sebagai mata dan telinga masyarakat termasuk bagi pihak orang ramai, ahli perniagaan dan para pentadbir serta pemimpin.
''Wartawan harus membantu kuasa (pentadbiran) pusat memahami persepsi masyarakat dalam sesuatu perkara dengan niat utamanya adalah untuk membaiki mutu kehidupan masyarakat, kualiti pentadbiran dan meninggikan demokrasi.
''Saya juga berpegang kepada pendirian bahawa tiada demokrasi tanpa media. Industri media begitu subur pertumbuhannya di Malaysia dan ini menunjukkan nilai-nilai tinggi demokrasi di negara ini," katanya.
Sebanyak 52 badan korporat menjadi penaja kepada majlis malam ini yang turut disertai wartawan dari Sabah, Sarawak dan Indonesia.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment