November 12, 2010

200 tapak dan warisan Sarawak dihantar untuk senarai UNESCO

KUCHING: Kira-kira 200 tapak dan warisan menarik di negeri ini akan dihantar untuk senarai Warisan Negara dan seterusnya dimasukkan dalam senarai Warisan UNESCO.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata antara tapak yang turut disenaraikan termasuk Square Tower, Muzium Lama Sarawak, Muzium Islam, Fort Magherita di Kuching, tapak kebudayaan Barion, Gua Niah dan rumah panjang lama Melanau (Rumah Kampung Sok) di Matu.

“Minggu lepas kementerian saya telah melawat ke Melaka dan Pulau Pinang yang diketuai menteri muda bagi mendapatkan taklimat dengan lebih jelas me-ngenai perkara berkenaan warisan daripada kedua-dua buah negeri terbabit.

“Ia juga untuk mengkaji peng-urusan dalam semua tapak warisan mereka yang mana telah dise-naraikan di dalam senarai Tapak Warisan UNESCO,” katanya ketika membahaskan penggulungan bagi Kementerian Pelancongan dan Warisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Menurut beliau, kementeriannya akan mengurus dan memasarkan mengikut tiga elemen warisan panduan yang tertera di dalam Ordinan Warisan Budaya Sarawak 1993.

“Antara langkah yang akan diambil kementerian dalam menangani isu-isu warisan adalah membina Jawatankuasa Warisan Negeri untuk meneliti kese-luruhan aspek warisan sama ada tarikan yang dapat dilihat atau sebaliknya,” tegas beliau. Malahan kementerian katanya akan berhubung dengan pakar daripada pelbagai bidang dalam pemuliharaan warisan, penyelenggaraan, pengurusan dan pemasaran.

Dr Chan memberitahu di Sara-wak terdapat kerja-kerja kecil dijalankan untuk memelihara warisan, ia termasuk Kubur Pah-lawan berdekatan Katedral St Joseph yang telah dibina dengan baik untuk dilawati keluarga dan rakan-rakan dan pelbagai.

Mengulas mengenai kerja-kerja pemuliharaan, beliau berkata Sek-syen Arkeologi, Pemuliharaan dan Penguatkuasaan akan terus menjalankan pemeriksaan dan melakukan kerja-kerja berkenaan khasnya mengenai tugu dan tapak bersejarah di negeri ini.

Ia termasuk tapak pra-sejarah di Santubong, Kubu Lili di Betong, tiang klirieng di Belaga, Tembawai Temenggong Tandok di Saratok, beberapa makam seperti Dayang Isah Tandang Sari, Abang Godam dan Pengiran Abdul Kadir di Pusa, Pengiran Kesuma Yoda di Gedong dan makam Datuk Permaisuri di Miri serta Pengiran Matussin di Telaga Air.

Sumber : Utusan Online

No comments: