November 25, 2010

Agong Harap Malaysia, Laos Terus Kerjasama Demi Kepentingan Negara Dan Rakyat

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin berharap Malaysia dan Laos meneruskan hubungan kerjasamanya demi kepentingan dan kemakmuran kedua-dua negara serta rakyatnya.

Seri Paduka yakin hubungan antara Malaysia dan Laos mempunyai potensi untuk terus berkembang walaupun dunia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran.

"Di ambang sambutan ulang tahun ke-45 penubuhan hubungan diplomatik kedua-dua negara tahun depan, beta berharap rakyat kedua-dua negara akan terus bekerjasama untuk mengukuhkan lagi jalinan persahabatan dan persefahaman.

"Ini bagi memastikan keamanan dan kestabilan yang berpanjangan di rantau Asean demi manfaat bersama," titah Seri Paduka pada majlis Jamuan Negara bagi meraikan Presiden Laos Choummaly Sayasone dan isteri Keosaychay Sayasone di Istana Negara di sini, Rabu malam.

Sayasone tiba di sini, hari ini untuk lawatan rasmi sulungnya selama tiga hari sebagai membalas lawatan negara oleh Tuanku Mizan pada 2008.

Turut hadir Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Tuanku Mizan bertitah kedua-dua negara wajar mengambil peluang dalam perkembangan positif ketibaan pelancong di kedua-dua negara dalam tempoh beberapa tahun lepas untuk memperkukuhkan lagi hubungan rakyat terutamanya di kalangan belia dan pelajar.

"Ini akan memberikan sumbangan yang besar dalam usaha merealisasikan objektif penubuhan Komuniti Ekonomi Asean sebelum 2015.

"Hubungan kedua-dua negara yang bergerak ke arah lebih bermakna adalah sesuatu yang membanggakan. Ini dapat dilihat dengan termeterainya beberapa perjanjian dan memorandum persefahaman semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Laos baru-baru ini," titah Seri Paduka.

Tuanku Mizan juga mengucapkan tahniah kepada Sayasone, kerajaan dan rakyat Laos atas sambutan ulang tahun ke-450 Bandaraya Vientiane sebagai ibu negara Laos baru-baru ini.

"Beta percaya sebagai bandar yang bersejarah yang mempunyai populasi yang bertenaga, Vientiane akan terus membangun dan menjadi sebuah lagi bandar metropolis di rantau ini.

"Masanya juga tepat bagi bandar Vientiane dan Republik Demokratik Rakyat Lao apabila pemimpin-pemimpin negara Asean, sewaktu di Hanoi baru-baru ini, telah bersetuju dengan pelan induk kesalinghubungan Asean yang bertujuan untuk merapatkan negara anggota Asean di peringkat pentadbiran dan juga rakyat di antara rakyat," titah Tuanku Mizan.

Sementara itu, Sayasone dalam ucapannya berkata beliau kagum dengan pencapaian besar dan kemajuan pesat Malaysia dalam pembangunan sosial dan ekonominya.

Beliau juga kagum dengan Malaysia dalam peranan pentingnya dalam Asean, rantau dan antarabangsa.

"Sebaik sahaja menjejakkan kaki di negara yang indah ini, saya telah menyaksikan keunikan identiti budaya dan pelbagai etnik di negara Asean yang mesra ini.

"Kita mengikuti keadaan perkembangan sosial dan ekonomi di Malaysia dan seronok melibat bahawa kerajaan dan rakyat Malaysia di bawah bimbingan Tuanku, telah mencatatkan kemajuan tinggi dalam pembangunan di negara ini.

"Kemajuan itu telah memyumbang besar dalam memperbaiki keseluruhan kesejahteraan rakyat Malaysia dan ini memberi laluan ke arah merealisasikan Wawasan 2020," kata beliau.

Beliau berkata hubungan persahabatan dan kerjasama antara Laos dan Malaysia telah bergerak dengan cepat dalam pelbagai bidang sejak penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara sejak empat dekad lepas.



"Pentingnya para pemimpin kedua-dua negara telah bertemu dan bertukar-tukar lawatan secara berkala, yang telah menyumbang untuk merapatkan lagi persefahaman dan meningkatkan kerjasama dua hala kita dalam banyak bidang," kata beliau.

Sayasone berkata kedua-dua pihak telah bertukar-tukar pandangan dan melahirkan kepuasan mengenai hasil kerjasama dua hala semasa mereka mengadakan mesyuarat hari ini.

"Kita berkongsi aspirasi bersama bahawa kedua-dua negara akan terus menjalin kerjasama rapat untuk meningkatkan lagi hubungan persahabatan, kerjasama dan bantuan dalam rangka kerja bagi peringkat rantau dan antarabangsa.

"Ini akan membawa manfaat jangka panjang untuk rakyat kita dalam menyumbang untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemajuan kerjasama di rantau dan dunia pada keseluruhannya," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments: