November 12, 2010

Acara pelancongan akan diperbanyakkan: Dr Chan

KUCHING: Kementerian Pelancongan dan Warisan merancang untuk meningkatkan jumlah acara berkaitan pelancongan pada tahun depan khasnya acara di bandar raya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan berkata ia bagi mewujudkan bandar raya bertenaga serta lebih hidup selain dikenali sebagai destinasi pelancongan.

“Kesemua bandar raya utama di Sarawak digalakkan untuk menganjurkan acara bermakna mereka sendiri dan sinonim dengan budaya unik mereka yang menarik.

“Kementerian saya akan me-nyediakan khidmat nasihat bagi memudahkan mana-mana acara baru dan membantu promosi mereka,” katanya ketika membahaskan penggulungan bagi Kementerian Pelancongan dan Warisan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Malahan menurut beliau Rating Standard, yang telah dilaksanakan kementeriam dalam semua acara pelancongan telah dilakukan dengan positif dan serius oleh penganjur acara.

Beliau menegaskan objektif menyediakan acara lebih baik dalam industri pelancongan agar dapat menarik lebih ramai pelawat datang kembali ke negeri ini.

“Tinjauan secara rawak yang telah kita buat semasa Regata Sarawak baru-baru ini menca-tatkan kebanyakan pelawat yang datang ialah pelawat berulang dan 30 peratus daripadanya dari luar Kuching,” kata beliau.

Beliau turut memberitahu kementerian telah terlibat dalam menyelaras sejumlah 42 acara berkaitan pelancongan dan hingga kini kementerian menganjurkan 40 daripada 42 acara pelancongan.

Dr Chan dalam pada itu yakin trend ketibaan pelancong asing ke Sarawak akan meningkat menjelang penghujung tahun ini melalui promosi yang giat dijalankan di Singapura, Jepun dan Korea Selatan.

Malahan kata beliau promosi pelancongan juga dapat dilakukan melalui forum wilayah, dimana pemegang taruhan sudah pasti mencari peluang kemungkinan untuk menubuhkan kerja-sama termasuk perhubungan udara.

Selain itu kerajaan negeri kata-nya berbincang dengan Malaysia Airport Holdings Berhad bagi menyediakan insentif kepada penerbangan asing untuk pendaratan percuma serta diskaun mengenai caj lapangan terbang yang beroperasi di Sarawak.

“Kita kini meneliti untuk menarik lebih ramai pelancong dari Jepun dan Korea,” kata Dr Chan.

Sumber : Utusan Online

No comments: