KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Persepsi negatif di kalangan masyarakat terhadap usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal keselamatan negara kini dilihat sebagai ancaman 'jenayah' baru yang perlu dibendung segera.
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya telah mengenal pasti masalah itu sejak sekian lama, namun usaha membendungnya akan memerlukan masa dan kerjasama banyak pihak.
"Apabila berlaku sesuatu jenayah, ada di kalangan mangsa lebih suka duduk di rumah dan biar perkara itu berlaku, di mana dalam fikiran mereka, lecehlah hendak buat laporan polis. Proses sukar dan lambat.
"Ini tidak membantu polis mencegah jenayah, sebaliknya wujud masalah baru, iaitu persepsi negatif terhadap pencegahan jenayah, khususnya kepada PDRM," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas forum meja bulat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan jenayah di Wisma Bernama baru-baru ini.
Justeru itu, Lee menyarankan agar lebih banyak aktiviti PDRM dengan masyarakat dilakukan seperti program 'Kepolisan Komuniti' di mana masyarakat boleh bertukar idea dengan anggota polis tentang sesuatu isu.
"Di pihak PDRM sendiri pula, anggota mereka perlu menghilangkan masalah lapuk di kalangan masyarakat iaitu takut untuk menegur atau bertemu polis, walaupun tiada kesalahan dilakukan," katanya.
Menurutnya, kebolehan berkomunikasi dengan baik dengan masyarakat dilihat antara senjata utama memerangi 'jenayah persepsi' dengan penglibatan lebih ramai anggota masyarakat membantu polis mencegah jenayah.
Katanya, pertemuan dari hati ke hati antara polis dan masyarakat dapat mengukuhkan kepercayaan serta keyakinan terhadap sistem keselamatan negara yang lebih teratur dan efisien.
Lee berkata masyarakat Asia diakui mempunyai sikap suka mempersoalkan dan berfikiran negatif tentang sesuatu perkara yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
Sementara itu, Prof Madya Kriminologi Universiti Sains Malaysia (USM) P. Sundramoorthy berkata sesetengah masyarakat tidak mempercayai statistik polis kerana bagi mereka, perkara itu perlu melibatkan kerjasama badan bukan kerajaan atau pakar runding.
Beliau berkata masyarakat kini juga lebih suka melihat sesuatu kejadian jenayah yang berlaku bermula daripada proses mencari pesalah sehingga ke peringkat pendakwaan.
"Di sini jelas persepsi masyarakat membayangkan selepas polis selesai menahan pesalah, adakah suspek akan diberi hukuman ringan atau dibebaskan, di mana bagi mereka, kadang-kadang hukuman tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
"Sekali lagi, mereka melihat gambaran keseluruhannya, bukan sahaja polis tetapi juga pelaksana pendakwaan," katanya.
Katanya, persepsi masyarakat berubah bergantung kepada situasi semasa.
"Kalau tahun lepas, mereka suka membaca cerita ragut di mana hampir pelbagai golongan masyarakat menjadi mangsa ragut, dan berita ini seolah-olah ditunggu mereka setiap hari (untuk dibaca).
"Tapi tahun ini, mereka lebih tertumpu kepada kes besar yang mendapat liputan besar-besaran seperti kes Aminulrashid dan Sosilawati, walaupun kes ragut memang wujud setiap hari," katanya.
-- BERNAMA
Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram
-
MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat
yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari
gerga...
5 years ago
No comments:
Post a Comment