November 2, 2010

Hanya Kerajaan BN Perjuang Pendidikan Untuk Rakyat - Ongkili

SANDAKAN, 2 Nov (Bernama) -- Hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) boleh memperjuangkan pendidikan untuk rakyat, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Katanya kerajaan BN meletakkan pendidikan sebagai keutamaan dalam negara dan ia tiada tandingan.

Ini termasuk langkah yang diambil untuk meningkatkan peluang pendidikan, standard dan infrastruktur di semua sekolah.

Ongkili berkata portfolio pelajaran bukan sahaja dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi pendidikan juga merupakan salah satu daripada enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Pendidikan sememangnya tidak ternilai dan amat penting bagi kita muncul sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju. Kerajaan menganggap pendidikan sebagai satu pelaburan.

"Dengan demikian, satu undi untuk Barisan Nasional adalah undi untuk pendidikan," katanya ketika menyampaikan ucapan kepada tiga sekolah - Sekolah Kebangsaan (SK) Mawar, SK Pulau Sanghai dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tai Tong di sini - yang mendapat manfaat daripada Sistem Pembelajaran Pintar Sirim hari Selasa.

Ongkili juga berkata kanak-kanak hari ini lebih beruntung daripada ibu bapa mereka kerana lebih banyak peluang pendidikan disediakan oleh kerajaan BN.

"Kita tidak mahu anak-anak kita hanya berjaya sehingga peringkat SPM sahaja, sebaliknya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi. Ini bukan sesuatu yang sukar dicapai terutama dengan segala bantuan yang disediakan, peluang dan kaedah pengajaran yang telah diadakan oleh kerajaan," katanya.

Justeru, Ongkili berkata kerajaan juga memastikan pelajaran sains dan teknologi diajar dalam kelas dan turut dikecapi sekolah luar bandar.

Sistem Pembelajaran Pintar Sirim adalah contoh teknologi moden yang disediakan oleh kerajaan untuk rakyat, katanya.

Sistem itu yang dibangunkan oleh agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi membabitkan pembelajaran interaktif menggunakan papan putih pintar, projektor dan perisian. Sistem ini disumbangkan kepada tiga sekolah berkenaan di mana 1,500 pelajar dijangka mendapat manfaatnya.

-- BERNAMA

No comments: