November 2, 2010

Malaysia-Amerika Syarikat Jalin Kerjasama Dalam Perubatan, Sains Dan Teknologi

PUTRAJAYA, 2 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Amerika Syarikat Selasa menjalin kerjasama dalam bidang perubatan, sains dan teknologi dengan memeterai tiga Memorandum Persefahaman (MoU) sempena lawatan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Rodham Clinton.

MoU mengenai Kerjasama Sains dan Teknologi ditandatangani oleh Clinton bagi pihak kerajaan Amerika Syarikat dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman bagi pihak Malaysia.

Majlis itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selepas itu, Muhyiddin dan Clinton menyaksikan majlis menandatangani perjanjian berhubung kerjasama, penggabungan dan pelesenan antara Academic Medical Center, Johns Hopkins University dan Johns Hopkins Medicine International.

Ia ditandatangani oleh Pengerusi Eksekutif Academic Medical Centre Tan Sri Dr Mohan Swami dan Dekan Fakulti Perubatan dan Ketua Pegawai Eksekutif Johns Hopkins, Dr Edward Miller.

Perjanjian itu dimeterai untuk menubuhkan Universiti Perdana, sebuah perkongsian awam-swasta bernilai RM2 bilion yang akan meletakkan Malaysia sebagai sebuah hab kesihatan yang terkemuka dan bersepadu bukan sahaja di Asia tetapi juga di dunia.

Ia juga hasil kerjasama dengan Royal College of Surgeons di Ireland (RCSI).

Satu lagi MoU adalah antara Malaysia Airlines dan Pratt and Whitney mengenai perjanjian enjin A330, ditandatangani oleh Pengarah Urusan Malaysia Airlines Datuk Seri Tengku Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz dan Naib Presiden Pratt and Whitney Craig William Welsh.

Clinton sedang dalam lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia bermula semalam, iaitu lawatan bilateral pertama beliau ke Malaysia sejak lawatan oleh Setiausaha Warren Christopher pada 1995.

Terdahulu, Muhyiddin dan Clinton mengadakan mesyuarat delegasi di Pejabat Perdana Menteri di sini kira-kira setengah jam.

Universiti Perdana akan menempatkan dua Fakulti Perubatan bertaraf dunia, sebuah Hospital Pengajaran yang dilengkapi 600 katil, Penyelidikan Perubatan dan Pusat Penyelidikan Perubatan dan Sains Hayat.

Fakulti perubatan itu akan menawarkan, buat pertama kali di Malaysia, sebuah program ijazah empat tahun berdasarkan kurikulum Amerika Syarikat dengan kerjasama Johns Hopkins University School of Medicine.

Sementara itu fakulti kedua pula akan menawarkan program ijazah lima tahun yang lebih konvensional berdasarkan kurikulum Ireland dengan kerjasama RCSI.

Dekan universiti telah pun dilantik dan akan memulakan tugas pada 1 Jan 2011, dan pengambilan pertama pelajar dijadual pada September tahun depan.



-- BERNAMA

No comments: