SIBU: Program Transformasi Ekonomi (ETP) berperanan meningkatkan pendapatan negara serta mengelak negara ini daripada muflis dalam tempoh sembilan tahun akan datang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata, sekiranya ekonomi negara terus berkembang pada kadar 4.5 peratus seperti 13 tahun lepas ditambah dengan perbelanjaan negara yang terus meningkat, negara akan muflis.
“Apa yang berlaku selepas krisis ekonomi pada tahun 1997, pertumbuhan ekonomi negara hanya pada kadar 4.5 peratus dengan perbelanjaan negara berkembang pada kadar yang amat tinggi.
“Ini memerlukan negara meminjam wang setiap tahun untuk menampung perbelanjaan yang berkembang pada kadar 12.5 peratus sejak tahun 1997,” ujarnya pada sesi soal jawab selepas syarahan awam anjuran Institut Methodist Pilley (MPI) di sebuah hotel di sini, malam kelmarin.
Terdahulu beliau diminta menerangkan dengan lebih jelas berhubung ke-nyataannya sebelum ini yang menyata-kan bahawa negara Malaysia akan muflis dalam tempoh sembilan tahun lagi.
Sebagai contoh menurut Idris, jika pendapatan sesebuah keluarga itu RM5,000 sebulan manakala perbelanjaan mereka RM8,000 sebulan, keluarga terbabit perlu meminjam wang RM3,000 daripada ‘ah long’ bagi menampung perbelanjaan mereka.
“Jika mereka terus meminjam setiap bulan, sampai suatu ketika semua pendapatan iaitu RM5,000 sebulan itu hanya untuk membayar faedah kepada ah long terbabit.
“Jadi pada perkiraan saya, jika ekonomi kita terus berkembang pada kadar 4.5 peratus dan perbelanjaan terus bertambah, selain kita terus meminjam setiap tahun pada kadar 12.5 peratus, menjelang sembilan tahun kita akan muflis kerana pendapatan kita hanya digunakan untuk membayar faedah pinjaman,” jelas beliau
Sehubungan itu menurut Idris, kerajaan memperkenalkan ETP bagi meningkatkan pendapatan negara pada kadar 6.5 peratus selain memacu negara ke arah menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.
Menurut beliau, meminjam wang bagi tujuan pelaburan pembangunan adalah baik, seperti yang dilakukan oleh Singapura.
Ini kerana katanya, pelaburan pembangunan tersebut seperti yang dilakukan di Kuala Lumpur bertujuan untuk menambah pendapatan negara.
“Oleh sebab itu, kita lihat banyak projek pembangunan dibuat di Kuala Lumpur kerana pelaburan ini untuk mengembangkan pendapatan dan itu baik kepada negara,” jelas Idris.
Sumber ; Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment