November 25, 2010

Malaysia di kedudukan ke-37 terbaik dunia

Kerajaan akan sentiasa berusaha memperbaiki lima indikator utama untuk tingkat daya saing negara

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa berusaha untuk memperbaiki lima indikator utama iaitu politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan dan kualiti hidup bagi meningkatkan daya saing negara berikutan penyenaraian Malaysia pada kedudukan ke-37 terbaik di dunia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K Devamany berkata ke-rajaan menerusi Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) terus berusaha mempermudahcara prosedur menjalankan perniagaan dan sistem penyampaian kerajaan bagi mengukuhkan indikator daya saing ekonomi.

“Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) akan memantau Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan juga Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta membangunkan 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA),” katanya semasa menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya) pada persidangan Dewan Rakyat di sini semalam.

Devamany berkata keraja-an akan merubah setiap peringkat pembangunan modal insan dengan menambah baik pendidikan awal kanak-kanak sehingga peningkatan kemahiran tenaga kerja dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

Beliau berkata kemahiran akan dipertingkatkan dengan mengarusperdanakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) bagi mengukuhkan sektor pendidikan yang akan meletakkan Malaysia sebagai pusat pendidikan utama terpilih serta hab utama dalam rangkaian pendidikan global.

Talent Corporation Malaysia Berhad ditubuhkan pada 22 Oktober lepas untuk menarik, memotivasi dan mengekal modal insan berkemahiran, katanya.

Dalam memperluaskan perkhidmatan kesihatan, Devamany berkata sejumlah 156 klinik di kawasan luar bandar dan 41 klinik kesihatan komuniti akan disiapkan di bawah Pelan Pelaksanaan pertama RMK-10.

“Di samping itu, 50 Klinik 1Malaysia baru akan dibina di mana skop perkhidmatan akan diperluaskan bagi meliputi golongan miskin di bandar dan kawasan lain yang kurang mendapat liputan. Nisbah doktor-penduduk akan dipertingkatkan kepada 1:597 menjelang 2015 berbanding 1:920 pada 2010,” katanya.

Bagi memastikan rakyat menikmati kualiti hidup yang lebih tinggi, keraja-an melaksanakan pelbagai strategi termasuk membangunkan kawasan kediaman yang berdaya maju dan menarik, membangunkan sistem pengangkutan awam yang mengutamakan rakyat, memastikan akses kepada perumahan berkualiti dan mampu milik dan menyedia-kan utiliti serta perkhidmatan awam lebih cekap.

Devamany berkata konsep 1Malaysia yang diperke-nalkan kerajaan bertujuan menjadikan Malaysia negara kukuh dan saksama di sam-ping penerapan nilai murni seperti kebebasan beragama, toleransi, keamanan dan persepaduan yang dipegang teguh oleh semua warga-negara ini.

“Usaha yang dijalankan oleh kerajaan menunjukkan hasilnya dengan peningkatan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa. Berdasarkan laporan World Bank Doing Business 2011, kedudukan Malaysia meningkat kepada ke-21 berbanding ke-23 pada tahun sebelumnya.

“Begitu juga dengan laporan Institut bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) ‘World Competitiveness Yearbook 2010’ di mana Malaysia ber-ada pada kedudukan ke-10 berbanding ke-18 pada tahun sebelumnya,” katanya.

Menurut laporan ‘The World’s Best Countries’ yang pertama kali dijalankan oleh Newsweek, Malaysia berada di kedudukan ke-37 daripada sejumlah 100 negara, dan dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di kedudukan terbaik iaitu selepas Singapura (ke-20) dan lebih baik berbanding Thailand (ke-58), Filipina (ke-63), Indonesia (ke-73) dan Vietnam (ke-81).

“Laporan itu menggunakan lima indikator utama sebagai tanda aras, di mana sumbangan utama kepada kedudukan Malaysia adalah daya saing ekonomi (kedudukan ke-14),” katanya.

Bagaimanapun, menurut Devamany, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan terutamanya dalam sektor pendidikan (kedudukan ke-36), kesihatan (kedudukan ke-52), kualiti hidup (kedudukan ke-48) dan persekitaran politik (kedudukan ke-54).

— Bernama

No comments: