February 10, 2011

Dasar perumahan negara penuhi keperluan asas rakyat - TPM

PUTRAJAYA, 10 Feb. - Dasar Perumahan Negara akan memenuhi keperluan asas rakyat, iaitu tempat tinggal yang selesa dan mampu dimiliki bagi memperkasakan pilihan dan autonomi rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ia adalah tujuan utama dasar itu digubal yang mengambil kira semua dasar dan perundangan untuk mewujudkan satu dokumen yang komprehensif sebagai rujukan utama dalam menetapkan hala tuju sektor perumahan negara.

Katanya, dasar itu juga dihasilkan untuk menjelaskan visi kerajaan mengenai dasar perumahan bagi tempoh jangka panjang.

"Selaras dengan gagasan 1Malaysia, kerajaan komited dan akan terus memberi keutamaan dalam penyediaan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan mampu dimiliki atau disewa mengikut keperluan golongan tertentu.

"Bagi tempoh Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10), kerajaan telah mensasarkan pembinaan sebanyak 78,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara bagi memenuhi keperluan pelbagai golongan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan penempatan semula setinggan,” katanya ketika melancarkan dasar tersebut di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung. - Bernama

No comments: