February 17, 2011

TPM Tiba Di Miri Untuk Mulakan Lawatan Dua Hari Ke Sarawak

MIRI, 16 Feb (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di sini malam ini untuk lawatan rasmi dua hari ke Sarawak bermula Khamis.

Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Miri disambut barisan kenamaan negeri diketuai oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran akan bertolak menaiki helikopter ke Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai di Bahagian Limbang pagi Khamis untuk merasmikan majlis pengiktirafan Sekolah Berprestasi Tinggi Kohort 2 Tahun 2011 itu.

Beliau juga akan membuat tinjauan mesra ke Rumah Panjang Tugang di Ulu Lubai sebelum berangkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tutoh Apoh di daerah Baram untuk meninjau serta mendengar taklimat berkenaan sekolah yang paling kerap dilanda banjir itu.

Muhyiddin juga akan menghadiri majlis pemimpin bersama rakyat di Uma Beluvuh di Long Panai, Baram.

Acara lawatan beliau diteruskan ke pekan Batu Niah, Miri untuk menghadiri satu lagi majlis pemimpin bersama rakyat.

Beliau dijangka kembali ke lapangan terbang Miri selepas itu untuk berlepas ke Kuching dengan pesawat khas bagi menghadiri program pemimpin bersama rakyat sempena sambutan Chap Goh Mei di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri Sarawak itu.

Program hari kedua beliau di Sarawak melibatkan lawatan ke pekan Pusa, Kampung Manggut, Spaoh dan Debak, kesemuanya di Bahagian Betong sebelum kembali semula ke Kuching untuk berlepas balik ke Kuala Lumpur pada sebelah petangnya.

-- BERNAMA

No comments: