STANBUL 24 Feb. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan lawatan rasmi tiga harinya ke Turki sebagai sangat bermakna berkata, negara itu sebenarnya inginkan hubungan lebih strategik dengan Malaysia.
“Mereka sudah lama menunggu Perdana Menteri Malaysia melawat Turki, Mereka selalu sebut 28 tahun berlalu belum ada lawatan bilateral,” katanya yang diminta merumuskan hasil lawatannya itu kepada wartawan Malaysia di sini sebelum berlepas ke tanah air.
Sebab itulah, jelas Najib, dalam perbincangannya dengan Perdana Menteri, Recep Tayyip Erdogan kelmarin telah menghasilkan keputusan konkrit yang akan meletakkan Malaysia-Turki dalam satu bentuk hubungan lebih memberangsangkan.
Menurutnya, antara persetujuan dicapai adalah mewujudkan perjanjian rangka kerja strategik yang bakal menggariskan bidang-bidang berkepentingan bersama supaya hubungan dapatterus dikembangkan.
Perjanjian kedua tambah Perdana Menteri, adalah Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Erdogan bersetuju berkunjung ke Malaysia untuk menandatangani kedua-dua perjanjian itu sebelum akhir tahun ini.
“Keputusan yang kita buat serta-merta ialah menghapuskan keperluan visa antara kedua-dua negara yang memberikan satu isyarat amat kuat bahawa hubungan antara dua negara ini akan lebih mudah jika perjalanan, perhubungan dan pergerakan rakyat dapat dilonjakkan.
“Saya percaya pemansuhan visa ini bukan sahaja dapat meningkatkan bidang pelancongan tetapi juga mengembangkan hubungan antara rakyat,” jelasnya sambil menambah mereka juga bersetuju untuk menganjurkan Minggu Turki dan Minggu Malaysia sebagai promosipelancongan kedua-dua negara.
Lawatan Najib diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Turut mengiringi ialah Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Selain mengadakan pertemuan dengan Erdogan, beliau turut mengunjungi Presiden Turki, Abdullah Gul. Najib juga mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli perniagaan Turki selain mengambil bahagian dalam persidangan Pergerakan Sedunia Untuk Keadilan, Keamanan dan Kemuliaan Insan anjuran bersama Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia, International Movement for a Just World (JUST) dan Universiti Baschesehir, Istanbul.
Dalam pada itu, Najib berkata, beliau dapat menyelami hati Erdogan yang mahu melonjakkan perdagangan dua hala kepada AS$5 bilion berbanding AS$1.3 bilion sekarang.
“Ini menggambarkan keazaman Erdogan untuk menggesa sektor swasta kedua-dua negara mencari ruang meningkatkan bidang kerjasama perniagaan dan pelaburan,” katanya.
Ditanya mengapa baru sekarang Turki menunjukkan minat besar untuk mempertingkatkan tahap hubungan dua halanya dengan Malaysia, Perdana Menteri berkata, ia mungkin disebabkan mereka kini dapat melihat prospek Malaysia terutama dari segi ekonomi, yang prestasinya bertambah baik.
Katanya, Turki juga tertarik dengan Malaysia yang kini mempunyai pelan hala tuju yang jelas dari segi Model Baru Ekonomi, Program Transformasi Ekonomi dan sebagainya. – utusan
No comments:
Post a Comment