February 17, 2011

Tolak pihak cuba pecahkan perpaduan

BINTULU: Penduduk di bandar ini perlu menolak usaha pihak yang ingin memecahbelahkan perpaduan di kalangan umat Islam, kata Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip.

Menurut beliau perpaduan yang kukuh, bukan sahaja sesama umat Islam bahkan dengan penganut agama lain, akan membawa kepada kesinambungan pembangunan.

“Kita perlu menolak orang yang menyalahgunakan masjid dan caci-mencaci sama ada menerusi blog ataupun Facebook. Golongan seperti ini otaknya tidak betul,” katanya pada majlis perhimpunan dan perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul di sini, semalam.

Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak berkata, banyak contoh wajar diteladani oleh penduduk tempatan yang membuktikan betapa mustahaknya perpaduan.

“Bukan sahaja negara-negara Islam yang lemah tetapi beberapa negara Eropah juga yang dahulunya maju kini mengalami kejatuhan,” katanya.

Sementara itu, Residen Bintulu Ismail Mohd Hanis berkata, perarakan sambutan Maulidur Rasul tahun ini disertai 73 kontinjen yang terdiri daripada kira-kira 6,000 orang ahli.

“Kita tahun ini tidak hadkan sambutan di bandar Bintulu sahaja, tetapi juga merangkumi Tatau dan Sebauh.

“Ini agar tempat yang jauh dari bandar Bintulu turut berpeluang meraikan sambutan yang amat bermakna kepada kita umat Islam,” katanya.

Talib dan Ismail kemudiannya menyertai perarakan sejauh 3.5 kilometer yang bermula di Tebingan Bintulu dan mengelilingi pusat bandar.

No comments: