February 25, 2011

SPR bersedia hadapi banjir

SIBU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir pada pilihan raya negeri ke-10 nanti.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, sebelum tarikh pilihan raya diputuskan, SPR akan memastikan proses pilihan raya dilakukan pada hari dan masa yang sesuai.

“Kami sudah ada pengalaman pada pilihan raya di Tenang, Johor. Jadi bila kami mahu pilih tarikh untuk pilihan raya nanti, kami kena fikirlah… tanya Jabatan Kaji Cuaca dulu, banjir ke tidak… hujan lebat ke tidak… jadi kami akan pilih tarikh sesuai.

“Bagaimanapun pegawai-pegawai kami sudah ada pengalaman di Tenang dan kami sudah bersedia dalam apa jua keadaan yang berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Ditanya sama ada bajet pilihan raya turut dinaikkan sekiranya berlaku kejadian banjir, Aziz menjelaskan kenaikan mungkin berlaku.

“Tetapi kami bersedia dari segi membeli payung, baju hujan, jaket, pelampung kotak undi. Kami belajar daripada pengalaman di Tenang, Johor, kalau hanyut pun tidak tenggelam,” katanya.

Aziz memberitahu bahawa SPR turut bersiap sedia dari segi kemudahan logistik untuk memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.

Terdahulu, Aziz merasmikan Taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pengurus Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-10 yang dianjurkan di sebuah hotel terkemuka di sini semalam.

Taklimat berkenaan dihadiri 24 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan 51 Penolong Pegawai Pengurus bagi kawasan Kalaka dan Baleh.

Sementara itu Abdul Aziz berkata SPR, yang meluluskan peruntukan berjumlah RM45 juta bagi mengadakan pilihan raya negeri Sarawak kali ini, telah bersiap sedia dengan segala keperluan logistik bagi mengendalikan pilihan raya negeri.

“Kami akan menggunakan 24 helikopter, 4,124 kenderaan pacuan empat roda, 919 perahu panjang dan 63 bot laju berikutan negeri ini yang luas, kawasan petempatan yang berselerak dan rupa bumi tidak sekata.

“Ini merupakan cabaran-cabaran yang ada. Tetapi jika kami telah melakukan persiapan terbaik dan terperinci, kami dapat mengatasi masalah berkenaan,” katanya semasa berucap.

Selepas sesi taklimat di sini, sesi serupa akan diadakan di Miri bagi 15 Pegawai Pengurus dan 39 Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

Penggal DUN Sarawak tamat pada 23 Julai depan.

Sumber : The Borneo Post

No comments: