February 25, 2011

Penanaman herba Cina mampu mengurangkan RM370 bilion import

KUCHING: Perbelanjaan import bagi herba Cina dari China dapat dikurangkan sebanyak RM370 bilion sekiranya petani tempatan mula mengkomersilkan penanamannya di sini.

Pengerusi Persatuan Pusat Perubatan Tradisional Cina (TCM) Chung Hua Malaysia Profesor Dr C.C Wong berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai potensi tanaman herba di sini semalam.

Beliau turut berkata sebanyak 300 jenis ubat-ubatan ini diimport dari negara China setiap tahun sedangkan petani tempatan tidak menyedari kepentingan pengkomersilan tanaman herba itu di sini.

Justeru, beliau menyeru ada pihak memulakannya di negeri ini berikutan keadaan cuaca yang hampir sama dengan negara itu (China).

“Perubatan Cina telah diamalkan sejak lebih kurang 3,000 tahun dahulu di China dan menggunakan herba tropika China yang hampir sama dengan herba di sini.

“Seperti yang disarankan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan suatu masa dahulu, kita boleh menanam dan mengurangkan eksport bahan mentah ini,” katanya.

Wong berkata pihaknya ingin memulakan rancangan itu terlebih dahulu namun perlu memohon sebidang tanah berkeluasan 200 ekar daripada kerajaan negeri.

Beliau turut memaklumkan kepada pemberita bahawa herba yang telah dikaji mempunyai nilai tinggi dikenali sebagai pecapelin yang digunakan sebagai pencegah pelbagai jenis kanser.

Wong berkata pihaknya menjual teh daun pecapelin (20 uncang) dengan harga RM25 sekotak dan boleh didapati dengan menghubungi 082-364979, 082-369343 atau 082-253326.

Pada masa yang sama, beliau meyakinkan masyarakat beragama Islam untuk menggunakan produk perubatan tradisonal Cina yang berunsurkan herba itu.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa perubatan tradisonal Cina yang diamalkannya menggunakan bahan herba berunsurkan haiwan.

“Sarawak mempunyai lebih kurang 844 jenis herba dan dianggarkan 90 peratus rakyat datang untuk mendapatkan perawatan tradisional dengan menjanjikan keberkesanan sebanyak 75 peratus yang menakjubkan,” katanya.

Wong menyeru lebih ramai ahli bukan berbangsa Cina menyertai persatuanya yang kini terdiri daripada 55 orang ahli terdiri daripada kaum Iban, Bidayuh, Melayu dan Cina.

Sebelum itu, beliau menjemput orang ramai untuk menyertai TCM International Co-Operation & Exchange Asia Forum pada 8 Mac, pada jam 6.30 petang di Hotel Penview Inn dengan harga tiket RM50 seorang.

Dua penceramah dari China iaitu Profesor Li dan Profesor Huang turut diterbangkan khas untuk memberi ceramah berkaitan.

Profesor Tiong seorang pensyarah di Open University Kuching juga bakal menyampaikan ceramah bertajuk ‘Malaysia Chinese Medicine History & Development’.

Majlis dirasmikan oleh Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Alam Sekitar) Tan Joo Phoi semalam.

No comments: