March 16, 2011

Malaysia sedia tambah anggota misi bantuan ke Jepun

KUALA LUMPUR 15 Mac — Malaysia bersedia menambah bilangan anggota misi menyelamat mangsa gempa bumi dan tsunami di Jepun sekiranya pihak berkuasa Jepun memberi kebenaran berbuat demikian, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, sebagai sebahagian daripada komuniti antarabangsa, Malaysia bersedia memberi komitmen itu sebagai tanda keprihatinan terhadap rakyat Jepun yang ditimpa musibah akibat gempa bumi yang mencetuskan tsunami dengan magnitud 8.9 pada Jumaat lepas.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah pun berada di Jepun untuk menyertai misi bantuan dan buat masa ini, 50 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart) bersedia berlepas bila-bila masa ke negara itu dengan dua pesawat Charlie C-130.

"Ini merupakan kumpulan pertama, kita bersedia menambah lagi walaupun sehingga satu batalion, tetapi ia (penambahan anggota) tertakluk kepada pihak berkuasa Jepun untuk memberi pelepasan kepada pasukan kita untuk meneruskan misi itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan cek rayuan Hari Pahlawan 2010 kepada Persatuan Bekas Tentera Malaysia di Parlimen di sini, hari ini. — Bernama

No comments: