March 16, 2011

Politik untuk bantu rakyat, bukan untuk bergaduh

Jangan gunakan serangan peribadi dalam politik kerana ia bukannya tujuan sebenar politik diwujudkan

TANDA INGATAN: Ambrose (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Mawan pada Majlis Malam Perpaduan Barisan Nasional di Kanowit, Sabtu lepas. Turut kelihatan (dari kanan) Leong, Brian dan Sayun.

KANOWIT: Jangan menggunakan serangan peribadi dalam politik kerana ia bukannya tujuan sebenar politik diwujudkan, kata Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) Dato Sri William Mawan Ikom.

Beliau memberitahu, taktik serangan peribadi ini sering digunakan pihak pembangkang yang sengaja meraih populariti dengan mengemukakan sesuatu isu yang boleh mencemarkan nama kerajaan di mata rakyat.

“Mereka (pembangkang) kata wakil rakyat ini tipulah, jahatlah, tidak baguslah dan bermacam-macam lagi tuduhan yang dilemparkan. Pihak parti pembangkang sememangnya mempunyai pelbagai isu untuk diperkatakan tetapi tidak tahu menyelesaikannya.

“Tolong jangan gunakan taktik serangan peribadi dalam politik kerana politik adalah untuk membantu rakyat bukannya digunakan untuk bergaduh serta menyerang satu sama lain,” tegasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Malam Perpaduan Barisan Nasional anjuran Pemuda SPDP Ngemah yang berlangsung di Dewan Suarah Kanowit, Sabtu lepas.

Menurutnya, politik hendaklah digunakan untuk bercakap mengenai pembangunan rakyat serta cara mengubah nasib rakyat agar dapat hidup dengan sejahtera dan selesa.

Mawan yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi turut memberitahu bahawa mereka yang mempunyai sebarang masalah dengan sistem kerajaan mentadbir negara ini khasnya di negeri ini hendaklah tampil mengemukakan masalah terbabit dan kerajaan bersedia mendengar.

“Tidak salah jika anda ingin menyumbangkan idea untuk kerajaan bagi membantu kerajaan meningkatkan perkhidmatan. Ini lebih bagus jika anda bersikap demikian dalam usaha meningkatkan lagi taraf kehidupan di kawasan pedalaman khasnya.

“Mungkin perancangan yang dilakukan oleh kerajaan masih menghadapi kekurangan dan anda boleh mengemukakan sebarang cadangan.

“Oleh itu, kerajaan mempunyai Program Transformasi Ekonomi dan Rancangan Transformasi Kerajaan bagi meningkatkan perkhidmatan sekali gus mampu menjana pembangunan rakyat,” katanya.

Sementara itu Mawan yang jaga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan turut menyeru ahli SPDP agar tidak membezakan diri mereka dengan parti komponen BN yang lain sebaliknya terus menjalinkan kerjasama dan mengeratkan hubungan dengan ahli-ahli daripada parti-parti komponen yang lain.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru kepada ahli-ahli SPDP agar mengukuhkan semangat setia kawan dengan ahli komponen yang lain serta tidak mengasingkan diri.

Jelasnya, dengan adanya hubungan erat dengan ahli komponen yang lain, ia dapat memudahkan tanggungjawab dalam membantu rakyat.

“Eratkan diri dengan rakan-rakan parti komponen yang lain kerana sikap sedemikian mampu membawa manfaat dan kebaikan kepada diri kita sendiri sekali gus dapat melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat tanpa terbatas,” tambah beliau.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Gramong Juna, Ahli Parlimen Kanowit Datuk Aaron Ago Dagang, ADUN Meluan Wong Judat, Ketua Pemuda SPDP Ngemah Kaunselor Brian Langit, Pengerusi SPDP Machan Kaunselor Leong Khing Hee, Pengerusi SPDP Ngemah Roland Sayun Ambing dan pengerusi penganjur Ambrose Jarat.

No comments: