KUCHING: Sarawak kini telah bersedia sepenuhnya menghadapi proses transformasi ke arah negeri berpendapatan tinggi menjelang 2020.
Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata keadaan negeri dan rakyat pada tahap yang baik kini memungkinkan lagi kelicinan proses transformasi negeri.
Katanya, gaya hidup sihat di kalangan masyarakat amat dititikberatkan dalam agenda pembangunan negeri.
Justeru katanya penglibatan aktif masyarakat khasnya belia dalam aktiviti kecergasan menjadi asas pembentukan belia yang dikehendaki untuk kesinambungan masa depan.
“Dalam usaha mencapai ekonomi berpendapatan tinggi semua pihak harus bekerjasama dan menyokong setiap aktiviti yang dilaksanakan.
“Kesinambungan pembangunan warga yang sihat dan aktif secara tidak langsung akan meningkatkan produktiviti masyarakat ke arah negeri berpendapatan tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Pusat Rekreasi Bersepadu Kuching (KIRC) di pekarangan Dewan Suarah Negeri di sini semalam.
Tambah Taib, generasi muda hari ini dilihat berkeinginan tinggi untuk berjaya dan menunjukkan prestasi yang lebih baik melalui penglibatan dan aktiviti-aktiviti yang direncanakan.
Justeru beliau berharap agar golongan belia akan dapat memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang disediakan untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi.
Bercakap mengenai pusat tersebut, Taib berkata ia me-rupakan inisiatif yang baik da-lam usaha menggalakkan penglibatan masyarakat ke arah aktiviti sihat dan berfaedah.
Melalui pusat rekreasi ini ia diharapkan akan dapat dipromosikan ke kawasan lain di negeri ini antaranya Sibu, Mukah, Bintulu, Miri, Betong dan kawasan-kawasan lain di negeri ini.
Kerajaan dalam pada itu menurut Taib akan berusaha mencari pendekatan terbaik bagi membantu meningkatkan kemudahan dan fasiliti KIRC untuk kegunaan bersama.
Sementara itu, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Dato Sri William Mawan Ikom berkata antara kemudahan yang disediakan di KIRC ialah gelanggang futsal, bola keranjang, sepak takraw badminton, bola tampar, pentas terbuka, tempat letak kereta dan kemudahan jalur lebar.
Selain acara-acara sukan, kemudahan ini juga boleh digunakan untuk majlis-majlis perayaan serta acara-acara keramaian.
Pada majlis tersebut turut diadakan pelancaran ‘Tabloid Juara’, terbitan dua kali sebulan, fokus kepada pembangunan sukan dalam dan luar negeri.
Hadir sama Ketua Setiausaha Ketua Menteri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Muda Hal Ehwal Belia dan Latihan Belia Larry Sng serta Presiden Persatuan Lawn Tennis Sarawak Datuk Patrick Liew
No comments:
Post a Comment