June 5, 2011

Pelan induk tarik pelancong Eropah giat direncana

KUCHING: Pemangku Menteri Pelancongan dan Warisan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg semalam mendedahkan bahawa pelan induk untuk menarik lebih ramai pelancong dari Eropah kini sedang giat direncanakan.

Abang Johari yang juga merupakan Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar ketika ditemui di Karnival Jom Heboh berkata pelan tersebut mampu mempertingkatkan industri pelancongan di negeri ini.

“Saya mempunyai idea menarik untuk sektor pelancongan negeri dan ia kini masih dalam peringkat per-bincangan,” kata Abang Johari sambil menjelaskan bahawa pelan tersebut membabitkan penyambungan penerbangan.

Menurutnya, perbincangan kini sedang dijalankan dengan kerajaan pusat dan syarikat penerbangan berkenaan penyambungan penerbangan dari Eropah dan Australasia.

Beliau bagaimanapun enggan me-ngulas dengan lebih lanjut tentang perancangan tersebut dan akan mengumumkannya apabila semua-nya sudah dimuktamadkan.

Dalam isu berkaitan, Abang Johari berkata Sarawak mempunyai tarikan tersendiri seperti alam semula jadi yang masih terpelihara sesuai dengan permintaan pelancong dari negara barat.

“Kita masih mempunyai alam sekitar yang terpelihara dan ini merupakan faktor yang membolehkan kita mempromosi negeri kita di peringkat antarabangsa,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa acara-acara pelancongan utama di negeri ini seperti Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RMWF), Borneo Jazz, Pesta Benak dan Regata Sarawak perlu dipakejkan secara kreatif untuk menarik lebih ramai pelancong.

Sementara itu, ditanya tentang Kuching Sentral, beliau berkata lokasi tersebut adalah sebuah lokasi yang selamat dan jauh dari landasan kapal terbang.

Tambahnya, pihak Jabatan Penerbangan Awam sudah membuat penyelidikan dan mendapati bangunan tersebut berada di lokasi yang selamat dan sebahagian daripada pembangunan Kota Sentosa.

Terdahulu, beliau mencadangkan agar Karnival Jom Heboh dijadikan sebagai sebahagian daripada kalendar pelancongan.

“Terpulang kepada pihak pengurusan Media Prima untuk memutuskan tetapi mereka perlu memberitahu kita setahun lebih awal,” katanya.

No comments: