BATU PAHAT: Datuk Seri Najib Razak menegaskan pentadbiran yang berpaksikan kepentingan rakyat akan terus menjadi pegangan dan keutamaan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah negara. Perdana Menteri berkata, perjuangan yang sentiasa mengutamakan rakyat serta menunai segala janji yang dibuat selama ini sudah terbukti apabila rakyat terus memberikan sokongan kepada BN untuk mentadbir negara sejak 55 tahun lalu.
Justeru, beliau meminta rakyat terus memberi mandat kepada BN ketika pilihan raya umum (PRU) ke-13 yang akan diadakan pada bila-bila masa.
“Kita sudah lakukan banyak pencapaian dalam masa tiga tahun. Jadi, boleh bagi kita (BN) lima tahun lagi tak?” tanya beliau sebelum disahut dengan laungan jawapan ‘boleh’ oleh hampir 70,000 hadirin pada pelancaran program Jelajah Janji Ditepati (JJD) peringkat kebangsaan, di Stadium Batu Pahat, di sini semalam.
Hadir sama Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta isteri, Puan Sri Noraini Abdul Rahman dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman serta isteri, Prof Datin Dr Jamilah Ariffin.
Najib berkata, berbanding janji pembangkang, Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dilaksanakan kerajaan bukan janji kosong, sebaliknya sudah menjadi realiti dan kenyataan dalam tempoh tiga tahun pentadbirannya.
“Sepanjang 55 tahun mentadbir negara, saya dapat simpulkan dua sebab besar mengapa hari ini lebih baik daripada semalam. Ingsya-Allah, esok lebih baik daripada hari ini, sebab kita (BN) tidak lari daripada berpaksikan rakyat dalam apa juga yang kita lakukan.
“Bermula dengan perjuangan menentang Malayan Union, menuntut kemerdekaan dan menentang komunis, kita mengutarakan konsep memenangi hati dan pemikiran rakyat termasuk dalam melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dasar pembangunan nasional yang semuanya berpaksikan kepentingan rakyat yang sentiasa didahulukan.
“Kita buat segala-galanya berdasarkan kehendak rakyat, laksana dan tunaikan apa yang dijanjikan kepada mereka. Semua ini menjadi tonggak keyakinan rakyat untuk terus meletakkan amanah kepada BN kerana keyakinan yang semakin tinggi,” katanya.
Perdana Menteri juga berkata pembangkang kini umpama kilang mengeluarkan pelbagai janji tetapi gagal memenuhinya termasuk janji terbaru menghapuskan pinjaman Pembiayaan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN).
“Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 12 lalu, berapa banyak janji yang mereka buat tetapi tak banyak yang ditunaikan. Di Selangor misalnya, berapa banyak janji tidak ditunaikan termasuk kepada setiap kelahiran bayi, anak-anak peringkat tadika, suri rumah, belia dan ibu tunggal,” katanya.
Berikutan itu, Perdana Menteri mengingatkan rakyat supaya tidak tertipu buat kali kedua pada pilihan raya umum akan datang dengan pelbagai janji manis pembangkang.
“BN sentiasa menepati janji dan kita akan teruskan, tetapi jangan biarkan diri kena tipu buat kali kedua dan ditelan janji pembangkang yang kini ada janji baru,” katanya.
Sementara itu, ketika bercakap ringkas kepada media selepas jamuan tengah hari bersama rakyat, Perdana Menteri menyifatkan JJD sebagai satu program pengukuhan kepada imej kerajaan iaitu apabila berjanji, ia akan menunaikannya.
“Kita mahu dasar transformasi didukung setiap lapisan masyarakat dan rakyat, termasuk belia dan NGO sebagai kesepaduan dalam memajukan negara. Kita mahu ia memberi kesan sebenar dan faedah kepada rakyat. Kita berhasrat membawa jelajah ini ke seluruh negara mengikut wilayah, mungkin perluaskan ke Sabah dan Sarawak, Utara dan Pantai Timur,” katanya.
Nelayan Berjaya Naikkan Ikan Pari Seberat 250 Kilogram
-
MIRI: Seorang nelayan dari Kuala Sibuti dekat sini, terkejut apabila pukat
yang dinaikkannya bukan hanya mengaut ikan biasa malah seekor ikan pari
gerga...
5 years ago
No comments:
Post a Comment