April 1, 2012

Bomba akan terus pantau hotel bajet di seluruh negeri

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak akan terus menjalankan pemantauan ke atas hotel-hotel bajet di seluruh negeri bagi memastikan semua pengusaha mematuhi Ordinan Bangunan Sarawak.

Pengarahnya, Nor Hisham Mohammad berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan sebelum ini, kira-kira 60 peratus daripada 68 hotel bajet di bandar raya ini mematuhi ordinan tersebut.

“Kita akan meneruskan pemeriksaan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memberi tumpuan utama terhadap hotel bajet dan taman asukan kanak-kanak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pentauliahan Anggota Hazardous Material Team (Hazmat) di sini, semalam.

Menurutnya, satu perkara yang turut membimbangkan pada masa ini ialah kebakaran melibatkan perumahan lama yang dibina sekitar tahun 80-an.

“Jika berlaku kebakaran, api mesti merebak dengan cepat kerana setiap rumah tidak mempunyai dinding pemisah antara satu sama lain.

“Kebanyakan rumah ini (perumahan lama) dibina sebelum Sarawak Building Ordinance (Ordinan Bangunan Sarawak) diwujudkan kerana ia hanya bermula pada tahun 1996,” ujarnya.

Sementara itu, Nor Hisham menjelaskan, bermula 1 April ini, talian 994 akan ditamatkan di Sarawak kerana kerajaan hendak menyeragamkan panggilan kecemasan kepada 999.

“Kuching dan Bintulu merekodkan tiada panggilan menerusi 994, manakala Sibu dan Miri masing-masing 31 dan 55 panggilan.

“Talian ini tidak digunakan lagi, jika berlaku kecemasan orang ramai boleh menggunakan 999,” jelasnya.

Menurutnya lagi, penyeragaman itu adalah untuk membolehkan setiap jabatan yang berkaitan merekodkan panggilan untuk rujukan.

“Kalau setiap jabatan ada nombor sendiri mungkin akan menyebabkan orang ramai keliru,” kata Nor Hisham

No comments: