MIRI: Pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) diingatkan mengutamakan keselamatan pesakit dan mematuhi etika yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui berkata, setakat ini dianggarkan terdapat 15,000 pengamal TCM di seluruh negara dan jumlah itu dijangka terus meningkat.
“Saya menyeru TCM agar bersikap jujur dan profesional, dengan merujuk pesakit yang dirawat kepada doktor sekiranya penyakit yang dihidap bukan dalam bidang kemahiran mereka. Jangan memandang ringan keselamatan pesakit.
“Bagi yang menjadikan TCM ini sebagai kerjaya pula, mereka harus mengikuti kursus atau latihan yang dikendalikan oleh mereka yang arif dan pakar di samping latihan berterusan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan,” katanya semasa berucap merasmikan sidang media Persidangan dan Pameran TCM RWO-SHR di Eastwood Valley Golf and Country Club semalam.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Datuk Sebastian Ting. Hadir sama Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang.
Ujar Chin, usaha itu bertujuan bagi memperluaskan perkhidmatan perubatan tradisonal dan komplementari di samping memberi keyakinan kepada orang ramai mengenai perubatan tradisional.
“Majoriti daripada 28.2 juta penduduk di negara ini pernah menggunakan TCM. Tinjauan seluruh negara pada 2004 oleh Institut Penyelidikan Sistem Kesihatan dan Institut Penyelidikan Perubatan melaporkan sebanyak 69.4 peratus daripada populasi Malaysia menggunakan TCM sekurang-kurangnya sekali dalam hidup,” jelasnya.
Justeru, sejajar dengan agenda ke arah negara berpendapatan tinggi, sistem penjagaan kesihatan perlu ditransformasikan untuk memenuhi keperluan yang meningkat, tambahnya.
“Justeru saya nasihati mereka berkepentingan dalam industri ini khususnya di Sarawak agar terus menerokai peluang yang ada.
“Usaha ini tidak mustahil kerana Sarawak dan Kepulauan Borneo kaya dengan pelbagai herba dan tumbuhan yang mempunyai nilai perubatan tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Chin gembira dan mengalu-alukan pemilihan Miri sebagai hos untuk Persidangan dan Pameran TCM RWO-SHR pada 7 hingga 9 Disember depan.
“Saya berharap, persidangan ini akan menyediakan landasan kepada pengamal, orang awam dan pakar perubatan untuk berjumpa, berbincang, berinteraksi dan membina jaringan khususnya dengan peserta dari luar negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment