April 22, 2012

Pembangunan pendidikan diutamakan

SIBU: Pendidikan adalah proses mewujudkan suasana pembelajaran dan pengajaran bagi mengembangkan potensi untuk memiliki kekuatan pengendalian diri, keperibadian dan kecerdasan.
Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, melalui transformasi pendidikan yang direncanakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan membelanjakan jutaan ringgit bagi tujuan pembangunan pendidikan.
“Bermula daripada zaman pimpinan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir (Mohamad), kemudian Tun Abdullah Ahmad Badawi dan sekarang Najib, pendidikan antara sektor pembangunan negara yang diberi tumpuan secara terperinci.
“Buktinya apabila Najib telah meminta timbalan beliau Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai Kementerian Pelajaran Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Permuafakatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sibu Jaya di sini semalam.
Antara yang hadir ialah Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Tengku Geruna, Timbalan Wali Kota Kapit Kaunselor Jefferyson Jamit, Pengerusi PIBG SMK Sibu Jaya Danggang Ugik dan Pengetua SMK Sibu Jaya Mohamed Nor Junoh.
Alexander berkata, dalam tempoh lima tahun lalu, banyak perubahan telah berlaku dalam sektor pendidikan negara.
Ia termasuk pembangunan dan penaiktarafan infrastruktur sekolah khususnya di kawasan pedalaman.
“Mungkin ada benarnya perubahan yang berlaku dalam sektor pendidikan negara sedikit sebanyak merencatkan aktiviti pembelajaran.
“Namun apa yang cuba dilakukan kerajaan adalah bertujuan memastikan semua pihak mendapat manfaat daripada perubahan yang dilakukan sekali gus mencapai objektif dasar pendidikan negara,” katanya.
Sambil mengambil contoh, penambahbaikan struktur gaji dan elaun golongan pendidik khasnya di kawasan pedelaman.
Menurut Alexander, apa yang diusahakan kerajaan adalah untuk meningkatkan inisiatif dan motivasi tenaga pengajar berkhidmat di kawasan luar bandar.
Bercakap lanjut, Alexander memuji usaha pihak sekolah SMK Jaya atas prestasi yang memberangsangkan dalam bidang akedemik dan kokurikulum.
Tambahnya, usaha seumpama itu perlu dikekalkan termasuk harus mendapat sokongan daripada semua pihak termasuk ibu bapa pelajar sendiri.
Pada majlis yang sama, Alexander menyampaikan geran sebanyak RM10,000 kepada PIBG SMK Sibu Jaya

No comments: