April 8, 2012

Jentera Pemuda BN sudah sedia hadapi PRU13, kata Fadillah

KUCHING: Jentera Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) di semua kawasan termasuk kawasan majoriti pengundi Cina.

Ketua Pemudanya, Datuk Fadillah Yusuf berkata, semua komponen parti sudah bermesyuarat dan gerak kerja telahpun berjalan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat memaklumkan jenis persiapan yang dimaksudkan kerana sebahagian daripada persiapan dan strategi BN adalah rahsia.

“Saya tidak tahu tarikh sebenar pilihan raya akan diadakan. Kita kena tanya Perdana Menteri sendiri. Beliau (Perdana Menteri) boleh cakap esok dan boleh juga tahun depan.

“Cuma yang pastinya, jentera parti telah bersiap sedia untuk pilihan raya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas perasmian Kejohanan Sepak Takraw Piala Sri Keranji di Kampung No.3, Lorong Haji Lembong di sini, semalam.

Kejohanan tersebut merupakan anjuran Kelab Sri Keranji dan ia disertai oleh 40 regu dari beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini, termasuk Lundu dan Bau.

Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, salah satu cadangan pada mesyuarat Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Pilihan Raya sebelum ini, pilihan raya tidak akan diadakan melainkan sudah sampai tempoh empat tahun. “Sekarang ini telah sampai tempoh empat tahun dan bila-bila masa PRU13 akan diadakan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapan perasmian kejohanan itu, Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, beliau akan berusaha untuk memenuhi tiga permintaan daripada penduduk kampung berkenaan untuk menaik taraf bumbung dan dinding gelanggang sepak takraw sedia ada termasuk pemasangan lampu di kawasan terbabit.

“Saya akan berusaha untuk memenuhi perkara ini kerana ia adalah sebahagian daripada keperluan penduduk demi kesejahteraan bersama.

“Bagaimanapun menjadi harapan saya agar penduduk mempelbagaikan aktiviti dalam kalangan belia di kawasan ini terutama dari segi pembangunan kemahiran,” katanya.

No comments: