KUCHING: Calon-calon Barisan Nasional (BN) kalangan para profesional yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang seharusnya dapat diterima rakyat.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, memang diakui dalam amalan demokrasi di negara kita boleh memilih mana-mana calon yang sesuai untuk diketengahkan pada pilihan raya.
Bagaimanapun, katanya, tidak semestinya calon profesional berpotensi untuk menang dalam pilihan raya jika mereka tidak mendapat sokongan daripada rakyat.
“Populariti seseorang calon dari kalangan profesional bukan ukuran sebenar, tetapi calon terbabit perlu pandai berpolitik dan mestilah mampu bekerja dengan rakyat,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.
Mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pemilihan calon BN PRU13 nanti dari kalangan profesional di luar parti, Wan Junaidi berkata: “Cadangan Tun (Mahathir) itu adalah baik dan kita perlu melihat daripada penerimaan rakyat.”
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata. memang ada kalangan wakil rakyat yang hanya duduk diam semasa persidangan Parlimen dan tidak mampu melakukan apa-apa terutama mengetengahkan masalah rakyat di kawasan mereka.
“Inilah masalahnya kita memilih calon yang bukan kalangan ahli politik meskipun mereka golongan profesional,” katanya ditemui ketika melakukan lawatan ke tapak projek pembinaan surau di Kampung Gersik, Petra Jaya di sini semalam.
Wan Junaidi menarik perhatian bahawa rakyat akan memilih calon yang dapat menyesuaikan diri sendiri dan benar-benar mampu berjuang untuk membela nasib mereka.
“Kita percaya ramai golongan profesional yang mempunyai populariti berminat menjadi calon, tetapi mereka perlu mampu menyesuaikan diri dalam politik dan bersama rakyat,” katanya.
Mengenai projek surau kampung terbabit, beliau berharap pembinaannya berjalan lancar dan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.
Menurut Wan Junaidi, setakat ini surau itu telah pun disiapkan hampir 24 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Julai ini.
“Saya yakin surau itu dapat disiapkan sebelum Ogos depan, justeru dapat digunakan oleh penduduk Kampung Gersik untuk sambutan Hari Raya Puasa tahun ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment