June 12, 2011

24 stesen CCTV di Tebingan Kuching, lokasi strategik lain

KUCHING: Kira-kira 24 stesen kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di sepanjang Tebingan Kuching dan beberapa lokasi strategik di bandar raya ini bagi memantau aktiviti jenayah termasuk ragut di kalangan pelancong.

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata pemasangan yang mendapat kelulusan peruntukan daripada kerajaan persekutuan itu akan menumpukan kawasan tarikan pelancong.

“Dengan adanya CCTV ini nanti ia terus membantu pihak polis memantau aktiviti di sepanjang Tebingan Kuching dan dihubungkan terus ke pondok polis dan kalau boleh saya mahu menjadikan tebingan ini menjadi kawasan bebas jenayah (tanpa jenayah).

“Pada masa yang sama, saya meminta kerjasama daripada pihak polis agar terus memantau CCTV ini bagi tujuan keselamatan pelancong khasnya.

“Saya berharap dengan pelaksanaan pemasangan ini ia membantu meningkatkan jumlah pelancong yang akan datang,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan audit Denai Warisan di sepanjang Tebingan Kuching di sini, malam kelmarin.

Beliau yang tidak mengulas lanjut mengenai kos pemasangan CCTV berkenaan berkata CCTV amat diperlukan terutamanya pada waktu malam bagi mengelak kejadian jenayah ragut yang sering menjadi aduan daripada pelancong.

Selain pemasangan CCTV katanya, kementerian juga akan menaik taraf kawasan tebingan itu dengan mema-sang lampu di kawasan stra-tegik bukan sahaja di tepi jalan tetapi memfokuskan ke arah Sungai Sarawak.

Ia katanya, bagi mempromosikan bot pesiaran di Sungai Sarawak dalam usaha menarik lebih ramai pelancong dari Barat.

Sehubungan itu, jelas beliau, pihaknya akan mendapatkan bantuan daripada polis marin untuk memantau keselamatan semasa di sungai.

Bagi merancakkan lagi aktiviti di Sungai Sarawak, beliau katanya, telah meng-adakan satu perbincangan dengan Tourism Malaysia da-lam usaha untuk mendapatkan tempahan bot.

“Pagi tadi (Jumaat), saya telah mengadakan perbinca-ngan dengan wakil dari Tourism Malaysia dan kebetulan mereka telah menempah bot tertentu untuk Melaka dan Terengganu yang kosnya RM300,000 setiap bot.

“Saya kini cuba untuk mendapatkan peruntukan RM2 juta daripada Kementerian Pelancongan di Kuala Lum-pur untuk menempah enam bot yang sama yang akan beroperasi di Sungai Sarawak dan menjadi teksi air,” tegasnya.

Abang Johari memberitahu bahawa segala inisiatif ber-kenaan bertujuan mentransformasikan bandar raya Ku-ching yang kini mempunyai kira-kira 600,000 populasi.

Hadir sama mengiringi beliau semalam, Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Mong Dagang.

No comments: