June 19, 2011

Galak masyarakat derma kepada kebajikan

KUALA LUMPUR: Kesemua badan kebajikan dan rumah perlindungan yang beroperasi bukan bermotifkan keuntungan diseru memohon peruntukan di bawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi meningkatkan amalan derma di kalangan masyarakat.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Abd Aziz Hashim berkata subseksyen 44(6) ini diperuntukkan bagi menggalakkan orang awam menghulurkan derma wang tunai bagi meningkatkan dana atau sumber kewangan rumah-rumah kebajikan tersebut.

“Ia juga mempunyai peruntukan di mana jumlah pendapatan penderma-penderma boleh dikurangkan dengan menolak jumlah wang yang didermakan kepada rumah-rumah kebajikan yang telah mendapat kelulusan subseksyen 44(6) daripada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri,” katanya dalam ucapan semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Warga LHDN kepada Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia.

Sumbangan berjumlah RM53,253 yang dikutip sejak 23 Mei hingga 10 Jun itu diserahkan kepada persatuan tersebut bagi menampung beban perbelanjaan yang diperlukan untuk mengelolakan Asrama Rumah Kebajikan Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh pada 21 Mei lepas.

Abd Aziz berkata masih banyak lagi pengelola rumah kebajikan anak-anak yatim, orang-orang tua, anak-anak miskin, ibu-ibu tunggal, orang kurang upaya dan lain-lain yayasan kebajikan dan rumah perlindungan yang tidak memohon pelepasan tersebut.

Setakat ini, hanya 107 daripada 562 pusat jagaan berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat telah memohon kelulusan peruntukan subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Pengelola rumah-rumah kebajikan boleh menghubungi mana-mana cawangan LHDN untuk mendapatkan bantuan dan keterangan lanjut berhubung peruntukan itu atau layari laman web www.hasil.gov.my untuk merujuk kepada garis panduan permohonan untuk kelulusan,” katanya.

Semua pendapatan kecuali dividen yayasan kebajikan/rumah dan kebajikan/rumah perlindungan dikecualikan cukai bermula dari tarikh kelulusan peruntukan itu. — Bernama

No comments: