June 26, 2011

RM57 bilion disasar daripada beli-belah pelancong asing

KUCHING: Kementerian Pelancongan menyasarkan lebih kurang RM57 bilion perbelanjaan beli-belah daripada pelancong asing di ne-gara ini pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit berkata, perbelanjaan pelancong asing khas-nya, merupakan penyumbang kedua terbesar dalam industri pelancongan Malaysia selepas penginapan.

“Meskipun saya tidak ada peratusan kedatangan mereka buat masa ini tetapi sehingga suku pertama tahun ini kedatangan pelancong ke Malaysia menunjukkan peningkatan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Jualan Mega 1Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LAK) di sini, semalam.

Menurut beliau pada tahun lepas, Malaysia hanya menerima RM16.2 bilion atau 28.7 peratus perbelanjaan beli- belah pelancong asing berbanding RM15.1 bilion (28.3 peratus) pada 2009.

Katanya, berbeza dengan negara lain seperti Singapura kadar perbelanjaan pelancong asing yang membeli-belah mencapai 35 peratus sementara Hong Kong lebih dari-pada peratusan itu.

“Sasaran sebegini yang kita mahukan… malahan kementerian turut menyasarkan seramai 25 juta pelancong asing datang ke negara kita pada tahun ini berbanding hanya 24.6 juta pada tahun lepas,” tegasnya.

Sehubungan itu kata beliau, usaha mempromosikan beli-belah termasuk di lapangan terbang di negara ini amat digalakkan bagi mencapai matlamat berkenaan.

“Menjadikan lapangan terbang sebagai tempat beli-belah adalah satu usaha yang amat baik kerana lapangan terbang menjadi ‘touch point’ kepada pelancong asing yang datang.

“Kewujudan kompleks beli-belah di lapangan terbang juga menggalakkan pelancong membeli-belah sekiranya mereka tidak dapat membeli-belah di bandar mereka dan sudah pasti lapangan terbang menjadi pilihan,” katanya.

Mengakui Malaysia masih ketinggalan daripada segi beli-belah di lapangan terbang, beliau berharap pihak Malaysia Airport Holdings Berhad (MAB) melakukan lebih banyak usaha dalam mempertingkatkan perkara itu.

Namun katanya, untuk melakukan usaha lebih kreatif dan berinovasi lebih tinggi ia terpulang kepada MAB kerana ia harus melalui kajian dan dinilai terlebih dahulu.

Terdahulu dalam ucapannya beliau berkata, idea mentransformasikan lapangan terbang sebagai destinasi beli-belah adalah keputusan yang amat berani.

“Ini menunjukkan Malaysia Airport amat berminat dan mereka mampu memberi keseimbangan dalam nilai komersial dan tanggungjawab sosial.

“Ia merupakan pendekatan holistik bagi mentransformasi dan membangunkan nilai komersial,” kata Dawos.

Berhubung Jualan Mega 1Malaysia (dahulu dikenali Karnival Jualan Mega Malaysia) Dawos memberitahu, semasa ia diwujudkan pada 2000 program berkenaan mampu menyumbang kepada 23.1 peratus kadar perbelanjaan pelancong.

Kempen yang diadakan bermula dari 15 Jun hingga 31 Ogos ini berkisar kepada pengalaman beli-belah hebat, menjamu selera dan pelbagai kegiatan interaktif.

Hadir sama Pengerusi MAB Tan Sri Datuk Dr Aris Othman dan Pengarah Tourism Malaysia Sarawak Ahmad Johanif Mohd Ali.

No comments: