June 19, 2011

Kerajaan sasar wujud empat bank koperasi menjelang 2020: Rohani

Sebuah daripadanya telah beroperasi, disyorkan ikut model Bank Rakyat
KEPALA BATAS: Kerajaan menyasarkan penubuhan empat buah bank koperasi setaraf Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menjelang 2020.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Rohani Abdul Karim berkata, buat masa ini, sebuah daripadanya iaitu Bank Persatuan Malaysia Bhd (BPMB) telah beroperasi dan disyorkan mengikut model Bank Rakyat.

“Proses untuk menubuhkan bank koperasi kedua sedang berjalan dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad dan sudah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

“Cuma ketika ini Bank Negara Malaysia belum memberi kebenaran untuk menggunakan nama Bank Koperasi dan buat sementara waktu ia akan menggunakan nama Koperasi Pembiayaan Syariah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung perwakilan tahunan Koperasi BPMB, di sini semalam.

Katanya, kewujudan BPMB yang ditubuhkan pada 1950 dan mendapat status bank koperasi tahun lepas dijangka memberi persaingan positif kepada Bank Rakyat.

“Sehingga hari ini, BPMB mempunyai RM367 juta nilai saham dan SKM akan menyelia dan memberi bimbingan kepada BPMB supaya mencapai kejayaan seperti Bank Rakyat,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat juga mula membuka mata terhadap keupayaan koperasi kerana ada di antaranya yang mampu membayar dividen sehingga 15 peratus kepada ahlinya.

Katanya, pengendalian koperasi oleh golongan profesional berjaya mengembalikan keyakinan masyarakat untuk menanam modal dalam koperasi. — Bernama

No comments: