June 5, 2011

Sokongan terhadap BN tetap utuh

KUCHING: Sokongan terhadap BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) ini tidak akan terjejas meskipun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud kekal sebagai Ketua Menteri sepanjang penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ini.

Naib Presiden PBB Datuk Daud Abdul Rahman berkata jangkaan itu adalah berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri 16 April lepas.

“Kita sendiri dapat menyaksikan majoriti rakyat masih menyokong kepimpinan Pehin Sri (Taib) pada pilihan raya lepas.

“Semua kerusi ditandingi PBB masih kekal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Daud yang juga Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Islam) berkata, jika Taib terus menerajui pentadbiran negeri ini sehingga habis penggal sekarang, ia juga tidak akan menjejaskan sokongan rakyat terhadap parti-parti komponen BN negeri yang lain.

“Sokongan rakyat terhadap parti komponen yang lain juga masih menunjukkan mereka yakin dengan keupayaan BN di bawah kepimpinan Pehin Sri dalam memerintah Sarawak,” ujarnya.

Beliau diminta mengulas mengenai permintaan Naib Presiden PBB Dato Sri Michael Manyin Jawong yang mahu agar Taib memikir semula rancangan untuk berundur dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Taib, sebelum Pilihan Raya Negeri diadakan, memberitahu akan bersara daripada karier politik dalam tempoh tersebut dalam satu majlis di Serian pada Mac, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada pilihan raya lepas, BN menang 55 kerusi daripada 71 kerusi yang dipertandingkan.

Menurut Daud, faktor sokongan berterusan diterima Taib dari dalam BN dan rakyat ialah berikutan kejayaannya membangunkan Sarawak dan menyatupadukan rakyat pelbagai kaum.

Katanya, Taib merupakan pemimpin unggul apabila mempunyai perancangan untuk mencapai kemajuan yang jelas, dan projek gergasi serta terkini ialah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

SCORE ialah projek ekonomi yang dijangka akan memberi impak besar terhadap pembangunan keseluruhan negeri ini.

Mengenai kestabilan, Daud berkata, kesinambungan pimpinan Taib sebagai presiden PBB akan mengelakkan kucar-kacir dalam parti tersebut.

“Saya yakin tidak akan wujud masalah jika Pehin Sri (Taib) kekal sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Sementara itu, sebelum ini Pergerakan Perubahan Untuk Sarawak (MoCS) yang diketuai penyelarasnya, Francis Siah memberi tempoh sehingga 13 Ogos akan datang untuk Taib meletak jawatan.

Malah, kumpulan itu bercadang mengadakan perhimpunan bagi menggesa Taib mengosongkan jawatan dalam politik.

No comments: