June 26, 2011

CUEPACS ingatkan penjawat awam tidak sertai perhimpunan haram

KULIM: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta penjawat awam supaya tidak terbabit dengan perhimpunan haram yang dirancang pihak tertentu pada 9 Julai ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata semua 1.2 juta penjawat awam di negara ini terikat dengan Aku Janji yang ditandatangani ketika mereka mula berkhidmat yang melarang mereka terbabit dalam aktiviti seperti itu.
“Jika mereka terbabit dan tertangkap atau sebagainya, CUEPACS tidak akan membela mereka dan perkara itu adalah risiko tanggungjawab mereka sendiri dan kita nasihatkan supaya mereka mematuhi Aku Janji yang dalam pengetahuan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Daerah Kulim di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Omar berkata isu pertukaran Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) tidak sepatutnya dipolitikkan.

Beliau berkata, lima kesatuan sekerja yang terbabit dengan jabatan berkenaan sudah menemui beliau semalam sambil menyatakan hasrat mereka untuk bertemu dengan Ketua Setiausaha Negara dan Menteri Kerja Raya.

“Saya beri jaminan bahawa CUEPACS sebagai payung kepada penjawat awam akan menggunakan budi bicara kita untuk menyelesaikan isu tersebut dan tidak dijadikan isu politik,” katanya.

Omar berkata, beliau akan bertemu dengan Datuk Seri Judin Abdul Karim dalam waktu terdekat untuk berbincang bagi mendapatkan pandangannya.
Isu tersebut timbul apabila Judin dikatakan enggan keluar daripada pejabat Ketua Pengarah JKR setelah menolak tawaran sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). - BERNAMA

1 comment:

yusuflaili(Goku) said...

Sudah semestinya penjawat awam tidak boleh menentang kerajaan..bergitu juga dgn mana2 pertubuhaan pro-kerajaan.